Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

14 April 2008

Projek kereta api laju KL-Singapura dibantah


Oleh JAMLIAH ABDULLAH

NILAI 12 April - Kementerian Penerangan mengarahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mengendalikan Radio Selangor FM supaya mengosongkan pejabatnya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), Shah Alam secepat mungkin, selepas diberi kata dua oleh kerajaan Selangor.

Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, pihaknya akan berusaha mendapatkan tempat lain yang bersesuaian untuk menempatkan stesen radio tersebut.

Beliau memberi jaminan kepada pendengar Radio Selangor FM tindakan keluar dari bangunan itu tidak menjejaskan operasi stesen berkenaan kerana kementerian akan mencari tempat sesuai bagi membolehkannya beroperasi seperti biasa.

"Walaupun di mana siaran radio itu berada nanti, kita akan terus menghampiri hati rakyat negeri Selangor.

"Keputusan tersebut dibuat bagi membuktikan bahawa pihak kerajaan tidak tunduk terhadap sebarang ancaman atau ugutan kerajaan negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menghadiri majlis perkahwinan anak sulung bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad, Mohd. Najib dengan pasangannya, Syarifah Madehah Syed Alwy di Bandar Baru Nilai di sini hari ini.

Beliau mengulas kata dua Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada Radio Selangor FM yang akan diusir dari Bangunan SSAAS sekiranya tidak mahu menyiarkan visi dan program kerajaan pimpinan pakatan pembangkang itu.

Ahmad Shabery berkata, beliau terkilan dengan kata dua yang diberikan oleh Menteri Besar Selangor itu yang boleh disifatkan sebagai ancaman dan ugutan.

Menurutnya, dakwaan Abdul Khalid mengatakan Radio Selangor FM sengaja tidak mahu memberi ruang kepadanya adalah tidak benar kerana tiada syarat seumpamanya.

"Prinsip kita jelas iaitu sekiranya ada nilai berita, apa salahnya satu jam, dua jam atau tiga jam, kita tidak ada masalah untuk memberi slot.

"Masalah sekarang ialah ia membabitkan soal kuasa iaitu 'kamu tak ikut kami, kamu kena keluar'. Apakah kita perlu tunduk kepada tekanan dan ugutan macam ini," soal beliau.

Beliau turut kesal dengan tindakan Menteri Besar itu yang jelas menggambarkan sikap kemaruk kuasa kerana sudah lama mengidamkan tempat tersebut dengan merasakan sesiapa yang berada dalam bangunan itu mesti patuh kepada kehendaknya.

Katanya, ia sekali gus akan menyulit dan menjejaskan hubungan kerajaan negeri dengan Persekutuan dalam pelaksanaan pelbagai projek pada masa depan.

"Macam hari ini apabila dia ada kuasa, dia menggunakan RM100 juta untuk babi, maka dia tunjukkan dengan menghalau keluar mana-mana agensi Kerajaan Persekutuan daripada bangunan itu, yang bukan dibina atas hasil usahanya," katanya.

Semalam, Abdul Khalid dilaporkan memberi amaran kepada Selangor FM sama ada memenuhi permintaan kerajaan negeri untuk ke udara satu jam seminggu atau berpindah daripada pusat pentadbiran kerajaan negeri di bangunan itu.

Amaran itu diberikan selepas pengurusan Selangor FM gagal memberi jawapan terhadap permintaannya yang mahu slot satu jam setiap minggu untuk menerangkan program kerajaan negeri walaupun pertemuan sudah diadakan dua minggu lalu.