Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 April 2008

Bekalan beras negara mencukupi


Oleh SAHBULAH DARWI

JOHOR BAHRU 12 April - Kerajaan memberi jaminan bekalan beras negara adalah mencukupi walaupun berlaku masalah kekurangan bekalan bahan makanan itu di pasaran dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, ini kerana Malaysia adalah negara pengeluar beras mengikut jumlah yang konsisten manakala import beras negara pula tidak terjejas.

"Perlu saya tegaskan bahawa bekalan beras negara adalah mencukupi untuk keperluan rakyat dan semua pihak tidak perlu bimbang," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Shahrir berkata, walaupun bekalan adalah stabil namun Kementerian tetap mengambil langkah-langkah untuk memastikan stok makanan mencukupi bagi keperluan rakyat.

"Ini kerana kerajaan bertanggungjawab menampung stok simpanan beras negara sehingga bekalan beras ia mencukupi.

"Kita tidak mahu rakyat berhadapan dengan masalah apabila berlakunya kekurangan bekalan beras di pasaran dunia," katanya.

Mengenai pasaran global, Shahrir berkata, rakyat perlu menerima hakikat bahawa harga beras di pasaran dunia telah meningkat ekoran langkah negara-negara pengeksport di rantau ini mengurangkan pengeluaran bahan makanan itu.

Namun begitu, Shahrir berkata, rakyat tidak perlu bimbang kerana negara mengeluarkan antara 65 hingga 70 peratus keperluan beras yang diperlukan seluruh negara.

"Jadi kita mempunyai bekalan beras yang mencukupi, rakyat tidak perlu bimbang," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan menjelaskan kepada pihak media dalam tempoh terdekat ini bagi memastikan semua pihak memahami tentang krisis bekalan makanan yang dialami di seluruh dunia.

Tegasnya, kementerian itu juga akan menjelaskan dengan lebih terperinci perancangannya untuk menangani masalah tersebut.