Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 April 2008

Perlis e-state bangunkan ekonomi berasas pengetahuan

KANGAR 16 April - Kerajaan negeri Perlis akan melaksanakan pelan pembangunan ekonomi dan infrastruktur yang lebih berkesan dalam usaha mengubah negeri ini daripada ekonomi konvensional berasaskan pertanian kepada ekonomi berasaskan pengetahuan.

Sehubungan itu, Perlis e-state akan diwujudkan yang antara lain melibatkan penyediaan infrastruktur rangkaian jalur lebar (broadband) berkelajuan tinggi selain pembangunan dan penyediaan aplikasi e-kerajaan.

Rangkaian jalur lebar menawarkan penyambungan Internet antara 10Mbps hingga 50Mbps yang dikendalikan oleh VDSL TT Frontiers Sdn. Bhd. yang mendapat tawaran eksklusif.

Menteri Besar, Datuk Dr. Md. Isa Sabu berkata, kewujudan Perlis e-state akan menjadikan negeri ini sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang teknologi maklumat (IT) terutama bagi e-kerajaan.

"Matlamat mewujudkan Perlis e-state ini adalah bagi menjadikan infrastruktur e-kerajaan yang digunakan di negeri ini sebagai pusat kecemerlangan di peringkat nasional dan antarabangsa.

''Kerajaan akan menggunakan kelebihan sumber di sektor swasta selain tanggungjawab sektor awam sendiri," katanya di sini hari ini.

Md. Isa berkata, penyediaan infrastruktur seumpama itu juga menepati kehendak selain mengikut garis panduan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi.

"Projek permulaan yang akan dijalankan di bawah Perlis e-state termasuk pembangunan modal insan, portal maklumat negeri, pusat khidmat perkongsian, portal pertanian, pengurusan rangkaian bekalan pertanian, hab logistik, pusat data dan pembayaran elektronik.

"Inisiatif ini akan saling menyokong aplikasi e-kerajaan sedia ada dan akan turut membuka peluang pelaburan terutama di sektor teknologi maklumat (IT) dan telekomunikasi di negeri ini," katanya.

Menurut beliau, inisiatif itu juga akan meletakkan negeri Perlis sebagai hab untuk perkhidmatan jalur lebar dan aplikasi e-kerajaan bagi kawasan utara termasuk menyokong Pelan Pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

Syarikat industri IT dan telekomunikasi utama yang bersetuju untuk melabur dan membangun serta menyediakan cadangan pelaksanaan berhubung projek Perlis e-state ialah VDSL TT Frontiers Sdn. Bhd., MCM Technologies Sdn. Bhd., CENS (Singapore) Pte. Ltd., VDSL Network Sdn. Bhd. dan GI Solutions Gateway Sdn. Bhd.