Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 April 2008

Cipta satelit bukti kemampuan Unisel

Oleh LAUPA JUNUS

UNISSAT v. 1 menjulang nama universiti tempatan di peringkat antarabangsa.

Teknologi satelit bermula apabila Soviet Union melancarkan Sputnik - 1 dan selepas itu beberapa siri Sputnik dilancarkan oleh negara tersebut.Hari, ini satelit antara 'penghuni' objek buatan manusia di angkasa dengan pelbagai misi atau tujuan sama ada nyata dan juga tersembunyi.

Satelit biasanya dihantar ke angkasa untuk tujuan komunikasi, penderiaan jauh atau pencerapan data bumi selain kajian angkasa.

Bagi negara maju daripada segi ketenteraan, satelit biasanya dihantar ke angkasa untuk tujuan risikan atau mengintip.

Malaysia tidak ketinggalan menceburi bidang pembangunan satelit dan umum mengetahui beberapa satelit telah dilancarkan termasuk siri MEASAT dan Tiung Sat-1 dan akan datang, RazakSat.

Meskipun penglibatan Malaysia secara hanya kira-kira sedekad lepas dan penggunaan satelit itu pun menerusi Pusat Remote Sensing Negara (Macres), namun usaha mereka bentuk satelit sudah dirintis di peringkat institusi pengajian tinggi dan syarikat swasta.

Penubuhan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dan Astronautic Technology Sdn. Bhd. (ATSB) serta terbaru Pusat Angkasa Negara di Banting, Selangor menunjukkan keseriusan kerajaan dalam pembangunan teknologi satelit.

Namun, teknologi satelit sebenarnya amat kompleks bukan sahaja kerana melibatkan pelbagai disiplin tetapi juga misi dan saiznya yang pelbagai.

Begitu juga jenis-jenis orbit, satelit mempunyai pelbagai kategori orbit yang berbeza.

Apatah lagi, pembangunan dan reka bentuk satelit perlu disusuli dengan pembinaan stesen bumi yang berfungsi menerima data yang dihantar.

Daripada segi pengelasan misalnya, satu daripadanya ialah satelit miniature yang ringan dan bersaiz kecil.

Satelit kategori ini terbahagi kepada satelit mini yang mempunyai berat antara 200 kilogram dan 500 kilogram (kg), satelit mikro (bawah 200kg) dan satelit nano (bawah 10kg).

Bagi Malaysia satu daripada satelit yang bakal dilancarkan September ini ialah RazakSat yang dikelaskan dalam satelit mikro dan ini merupakan satu kejayaan bagi Angkasa dan ATSB yang membangunkan projek tersebut.

Kejayaan tersebut membawa satu petanda bahawa satu anjakan dalam pembangunan aeroangkasa di negara ini tetapi teknologi tidak pernah kekal statik.

Apabila saintis mula membicarakan nanoteknologi iaitu pengecilan produk dan komponen bersaiz satu bilion lebih kecil berbanding satu meter, tempiasnya juga terkena kepada pembikinan satelit tersebut.

Berkemungkinan atas perkembangan nanoteknologi itu, Angkasa telah mengambil inisiatif yang cukup bermakna apabila menganjurkan pertandingan pembangunan model satelit nano peringkat siswazah pada tahun lepas.

HarapanMeskipun ia hanya peringkat model dan bukan komersial, langkah menganjurkan pertandingan tersebut sangat penting kerana ia mampu menyediakan asas teknologi angkasa kepada siswazah bagi meningkatkan pengetahuan, memperoleh pengalaman dan bertukar-tukar informasi di bidang teknologi tersebut.

Selain itu ia juga penting untuk mempromosikan 'kerjasama berpasukan' dan integrasi teknologi di antara pelbagai bidang serta mencabar siswazah untuk meningkatkan ilmu pengetahuan melewati had normal.

Pada masa sama, ia dapat membangunkan sistem telemeteri modular yang lasak dan boleh dikomersialkan, menggalakkan pertumbuhan pemikiran kreatif dan inovatif di kalangan siswazah dan mempromosikan pembelajaran sepanjang hayat dan di luar dewan kuliah.

Kejayaan awal sebuah universiti tempatan dalam pertandingan pembangunan model satelit baru-baru ini menampakkan harapan kepada perkembangan teknologi tersebut secara keseluruhannya.

Sekumpulan pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel) berjaya mengondol hadiah dalam pembangunan satelit nano pada Pertandingan Cansat Nano Satelit Antara Varsiti Dunia di Madrid Sepanyol pada 10 hingga 12 April lalu.

Mereka berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori terbuka dan tempat ketiga bagi kategori roket telemetri.

Pelajar dari Fakulti Kejuruteraan itu membangunkan dua model satelit nano dan dan satu daripadanya merupakan hasil kejayaan di peringkat domestik.

Ia bermula dengan pertandingan di peringkat tempatan yang juga dikenali sebagai CANSAT 2007 membabitkan universiti awam dan swasta yang memerlukan peserta membangunkan satelit nano termasuk subsistem.

Ia hendaklah berskala kecil berat antara 350 gram (g) dan 1,050g bagi menguji kemampuan siswazah dalam reka bentuk, fabrikasi dan operasi.

Yang uniknya, kesemua sistem tersebut hendaklah boleh dimasukkan dalam tin minuman.

Angkasa yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akhirnya memilih Universiti Industri Selangor (Unisel) sebagai juara.

Model satelit nano Unisel diberi nama UNiSSAT V. 1 yang beratnya hanya 348 gram termasuk semua komponen dan sistem di dalamnya.

Sistem telemeteri pula dilengkapi dengan Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), antena, pemancar dan penerima, penderia tekanan atmosfera dan penderia suhu.

Menurut Dekan Fakulti Kejuruteraan Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad, meskipun tempoh pembangunan model itu hanya untuk tiga bulan iaitu bermula Julai 2007, pihaknya mampu menyiapkan lebih awal iaitu kurang daripada tempoh tersebut.

"Kumpulan kami terpilih sebagai juara dan bercadang menaikan taraf satelit ini yang masih di peringkat prototaip," katanya ketika ditemui di makmal Fakulti Kejuruteraan, Unisel di Berjuntai Bestari baru-baru ini.

Pelbagai sistemKumpulannya terdiri daripada dua penasihat termasuk dua pensyarah iaitu Zulkifli Abdul Rahman (bahagian mekatronik) dan Juwairiyyah Abdul Rahman (elektronik) dan dianggotai oleh Tan Pei Tih , Nedunchelian A/L Gurusamy Mohd. Norhalim Zainudin, Irwan Rustang , Ahmad Danial Ridwan Mohamad Bolhair dan Mohd. Firdaus S. Abd. Hadi.

Satelit tersebut terdiri daripada pelbagai sistem termasuk elektrikal yang mengandungi sistem pengkomputeran, sistem deria, sistem kuasa dan sistem perhubungan.

Bagi sistem pengkomputeran, komponen paling penting ialah pengawal mikro yang berfungsi sebagai otak bagi keseluruhan sistem.

Ia berfungsi sebagai pengawal untuk sistem masa, penyimpanan maklumat sementara dan pengawalan laluan isyarat.

Beban informasi terdiri daripada penderia tekanan, penderia suhu, penderia GPS dan kamera digital COMPLEMENTARY METAL-OXIDE-SEMICONDUCTOR (CMOS). Sistem GPSnya disepadukan dengan pengawal mikro dan fungsinya ialah untuk menjejaki kedudukan dan mengumpul maklumat seperti latitud dan longitud serta ketinggian altitud

Kamera yang dipasang pada satelit ini akan diaktifkan apabila pengawal mikro menghantar isyarat elektrikal untuk mengarahkan kamera merakam imej.

Imej yang dirakam akan disimpan dalam memori yang terbina pada papan kamera dan kemudiannya imej itu berkenaan dapat dikembalikan oleh pasukan stesen bumi selepas satelit mendarat.

Penderia tekanan pula mengukur tekanan atmosfera dan pada masa sama, ketinggian dapat dikira.

Satelit ini juga boleh berkomunikasi dengan stesen Bumi dengan syarat sistem pemprosesan dan penghantaran data dapat dibangunkan.

Stesen Bumi akan menghantar isyarat arahan penghantaran maklumat kepada satelit berkenaan manakala maklumat yang diterima dari satelit akan diproses di bumi menggunakan aturcara komputer yang telah dibangunkan.

Satu sistem payung terjun juga dikhususkan kepada satelit berkenaan yang diperbuat daripada fabrik lembut untuk memperlahankan gerakan objek melalui atmosfera dengan menghasilkan seretan apabila mendarat ke bumi.

Payung terjun dibina khas oleh kumpulan pelajar tersebut dan digunakan semasa demonstrasi pada 31 Januari lalu menunjukkan ia sesuai untuk satelit berkenaan.

Selain satelit tersebut, Unisel juga menghantar sebuah lagi satelit bagi kategori telemeteri yang mempunyai sedikit perbezaan dengan model asal.

Bezanya satelit yang memenangi pertandingan peringkat domestik itu mempunyai kamera GPS.

Menurut Anuar, pertandingan yang diadakan di Universiti Politeknik Madrid itu membabitkan 14 penyertaan dari Sepanyol dan Malaysia.

"Saya dapati universiti yang menganjurkan pertandingan ini memiliki makmal berkaitan bidang sains angkasa sejak lima dekad lalu,'' katanya.

Oleh itu berdasarkan pengalaman Unisel sebagai sebuah universiti muda, teknologi tempatan tidak jauh bezanya dengan apa yang ada di Eropah itu.

Kesimpulannnya, meskipun satelit tersebut sekadar sebuah model prototaip, tetapi berjaya membuktikan kemampuan pelajar tempatan dalam mereka bentuk satelit.