Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

27 April 2008

Brunei contohi Malaysia



BANDAR SERI BEGAWAN: Brunei Darussalam berkemungkinan besar mengikuti jejak langkah Malaysia dengan mengundurkan pasukan pemantau di Filipina yang bertanggungjawab mengawasi perjanjian damai Manila dan anggota pemisah Muslim.

Langkah itu meningkatkan lagi kemungkinan misi pemantau itu dibubarkan.

Malaysia dan Brunei menjadi negara penyumbang terbesar hampir 60 askar, polis dan pegawai yang bertanggungjawab mengawal selia perjanjian damai dimeterai Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang dimeterai pada 2003.


Akhbar Brunei, Borneo Bulletin dalam laporannya semalam memetik, seorang pegawai Kementerian Pertahanan negara itu yang enggan dikenali berkata: “Brunei mungkin mengeluarkan anggota pemantau jika itu dilakukan Malaysia.”

Wakil Kementerian itu tidak dapat dihubungi bagi mengulas lanjut. - AP

Isnin lalu, Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Rais Yatim, berkata mandat Malaysia dalam pasukan pemerhati antarabangsa yang berada di Mindanao tidak akan dilanjutkan apabila ia tamat September depan.

“Persoalannya, kita perlu mendapatkan kerjasama daripada kedua-dua pihak. Tetapi jika salah satu pihak tidak menunjukkan usaha, kita perlu menamatkan misi berkenaan,” kata Rais yang dipetik agensi berita Bernama.

Kelmarin, Manila menyuarakan rasa terkejut di atas keputusan Malaysia dan bimbang tindakan Kuala Lumpur itu boleh mencetuskan lebih banyak keganasan di wilayah selatan berkenaan.

Pasukan pemantau antarabangsa diketuai Malaysia sejak 2004, turut disertai beberapa pegawai tentera dari Libya dan pakar ekonomi Jepun.

Malah, Malaysia menjadi orang tengah rundingan di antara kerajaan Filipina dan MILF, tetapi proses itu menjadi buntu Disember lalu selepas perunding pemisah itu bertindak keluar mesyuarat kerana tidak berpuas hati dengan syor Manila, termasuk perluasan wilayah yang mahu diletakkan di bawah kuasa Muslim.

Tentera Filipina mendakwa MILF mempunyai 11,000 pejuang dan menjadi kumpulan pemisah terbesar berjuang mendapatkan wilayah tadbiran sendiri di selatan Filipina.