Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 April 2008

Malaysia kempunan ke Olimpik Beijing


KUALA LUMPUR - Pasukan hoki negara terpaksa menerima hakikat gagal melayakkan diri ke Sukan Olimpik, Beijing selepas seri 3-3 dengan Jepun dalam perlawanan terakhir kelayakan di Kakamigahara, Jepun, semalam.

Gol Kenichi Katayama dua minit sebelum tamat perlawanan mengikat kedudukan 3-3 sekali gus menghancurkan harapan untuk melihat skuad negara beraksi di Olimpik selepas kali terakhir Malaysia layak ialah tahun 2000 di Sydney.

Malaysia yang perlu mengutip tiga mata penuh untuk layak ke perlawanan akhir bertemu Jerman, gagal menahan asakan Jepun di minit-minit terakhir perlawanan melalui jaringan kontroversi selepas mendahului 3-2 pada babak pertama.

Malaysia bermula garang dalam babak pertama dengan penguasaan baik sebelum memperoleh gol pertama menerusi pukulan sudut penalti Jiwa Mohan yang ditampan masuk Chua Boon Huat pada minit ke-10.

Ketinggalan 0-1 memaksa tuan rumah menukar strategi dengan gerakan pantas untuk mencari gol penyamaan tetapi kubu pertahanan Malaysia terus utuh menghalang jentera serangan Jepun.

Sehinggalah pada minit ke-21 pasukan tuan rumah berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk kedudukan 1-1 menerusi Akira Ito yang berjaya menghukum kelalaian benteng Malaysia.

Malaysia menambah jaringan selepas dihadiahkan pukulan penalti yang mudah disempurnakan oleh Jiwa Mohan pada minit ke-28.

Keceriaan pasukan negara diteruskan lagi melalui gol ketiga Kevinder Singh melalui gol padang pada minit ke-33.

Hari suram buat pasukan hoki negara tiba dua minit sebelum perlawanan tamat apabila Jepun sekali lagi dihadiahkan pukulan sudut penalti tetapi gagal disempurnakan dengan baik oleh pemainnya sebelum ia kembali ke kawasan bahaya dan ditolak masuk oleh Kenichi Katayama melepasi garisan gol untuk kedudukan 3-3.

Jepun akan mentang Jerman dalam perlawanan akhir hari ini bagi menentukan tempat ke Beijing, sementara Jerman, semalam mengekalkan rekod tanpa bolos selepas menang 5-0 ke atas Poland manakala Switzerland mengalahkan Itali 4-0.