Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

13 April 2008

Melayu perlu ada pendesak

Melayu perlu ada pendesak

KUALA LUMPUR 12 April - Orang Melayu perlu mempunyai sebuah kumpulan pendesak yang khusus dan kuat demi memastikan hak serta kepentingan mereka sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus terpelihara.

Ketua Satu Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Tan Sri Ismail Hussein berkata, jika melihat kepada cabaran-cabaran semasa terhadap bangsa Melayu, penubuhan kumpulan seumpama itu sebenarnya tidak boleh dilengahkan lagi.

Katanya, Insya-Allah pada kongres umat Melayu yang akan diadakan di Johor Bahru 2 Mei ini, usaha menubuhkan kumpulan pendesak akan diperincikan daripada segi peranan dan hala tujunya.

''Saya berharap jika boleh kumpulan pendesak ini diberi status sebagai sebuah parti politik tetapi ia tidak akan terlibat secara langsung dalam pilihan raya, cuma kedudukan itu penting bagi mendapat pengiktirafan.

''Ini seperti peranan kumpulan pendesak yang diwujudkan di Turki dan ia didapati berjaya,'' katanya ketika menjadi ahli panel Forum Memperkasakan Perpaduan Melayu untuk Kesejahteraan Negara di sini hari ini.

Forum berkenaan diadakan pada Perhimpunan Perpaduan Melayu anjuran Barisan Bertindak Perpaduan Melayu yang merupakan gabungan 25 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu.

Antara pertubuhan Melayu dan Islam yang mendukung penubuhan BBPM ialah Gapena, Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

--

Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Nakhaie Ahmad membidas segelintir pihak yang sinis terhadap usaha menyatukan Melayu yang pada mereka sepatutnya dilandaskan kepada perpaduan Islam.

Dalam hal ini, ujarnya, Islam sebagai agama tidak perlu disatukan kerana ia adalah risalah yang satu dan kekal abadi dipelihara Allah akan kesatuannya.

Katanya, justeru yang memerlukan usaha perpaduan ialah orang-orang Islam yang berpecah-belah umatnya termasuk orang Melayu bagi konteks Malaysia.

''Untuk diambil keseluruhan umat Islam bagi dihimpunkan ia bukan dalam keupayaan kita, sebab itu yang termampu ialah menghimpunkan umat Melayu di negara ini.

''Kita sedar jika orang-orang Melayu di negara ini tersungkur, kedaulatan Islam juga turut tersungkur. Justeru orang-orang Melayu adalah pendukung utama yang jika pendukung rebah, yang didukung juga berselerak,'' ujarnya.

Turut menjadi panel dalam forum berkenaan ialah Ketua Eksekutif Yayasan Karyawan, Datuk Dr. Hassan Ahmad dan Felo Utama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (Istac), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady

Dalam pada itu, perhimpunan berkenaan diakhiri dengan piagam merumuskan tujuh perkara utama yang antaranya menuntut ketuanan Melayu terus dipertahankan.

Piagam itu antara lain menggesa Melayu bersatu tanpa mengira fahaman politik dan memastikan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak keistimewaan Melayu dan Islam yang termaktub dalam Perlembagaan dipertahankan.

Perhimpunan juga berikrar untuk berusaha menangani hambatan dan cabaran yang mengancam perpaduan Melayu dan Islam selain perlunya gandaan tindakan ke arah kemajuan orang Melayu.

Selain itu, piagam berkenaan turut mahu pegawai-pegawai Melayu di sektor awam dan swasta mematuhi dan memelihara kepentingan agenda Melayu dalam pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang diamanahkan kepada mereka.

Perhimpunan itu juga merumuskan bahawa Dasar Ekonomi Baru (DEB) perlu dikekalkan termasuk memastikan matlamat untuk mencapai sasaran 30 peratus ekuiti Melayu dapat dicapai.

Pada masa yang sama, piagam itu memberi jaminan dalam memperjuangkan hak dan ketuanan Melayu, kepentingan bangsa asing tetap dihormati dengan saksama.