Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 April 2009

Senarai lengkap barisan kabinet Malaysia 2009

Perdana Menteri : Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Timbalan Perdana Menteri: Datuk Seri Najib Tun Razak



Jabatan Perdana Menteri

Menteri : Tan Sri Bernard Dompok
Menteri : Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
Menteri : Datuk Ahmad Zahid Hamidi
Menteri : Datuk Zaid Ibrahim (senator)
Menteri : Datuk Amirsham A Aziz (senator)

Timbalan : Datuk Johari Baharum
Timbalan : Datuk Dr Mashitah Ibrahim (senator)
Timbalan : S.K Devamany
Timbalan : Datuk Hasan Malek

Kementerian Dalam Negeri

Menteri : Datuk Seri Syed Hamid Albar
Timbalan : Datuk Chor Chee Heung
Timbalan : Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (senator)

Kementerian Kewangan

Menteri : Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi
Menteri II : Tan Sri Nor Mohamed Yakcop
Timbalan : Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah
Timbalan : Datuk Kong Cho Ha

Kementerian Pengangkutan

Menteri : Datuk Ong Tee Keat
Timbalan : Datuk Anifah Aman

Kementerian Kerja Raya

Menteri : Datuk Ir Mohd Zin Mohamed
Timbalan : Datuk Yong Khoon Seng

Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi

Menteri : Datuk Peter Chin Fah Kui
Timbalan : A. Kohilan Pillay (senator)

Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi

Menteri : Datuk Shaziman Abu Mansor
Timbalan : Datuk Joseph Salang Gandum

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Menteri : Tan Sri Muhyiddin Yassin
Timbalan : Datuk Liew Vui Keong
Timbalan : Datuk Jacob Dungau Sagan

Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani

Menteri : Datuk Mustapa Mohamed
Timbalan : Datuk Rohani Abdul Karim

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Halehwal Pengguna

Menteri : Datuk Shahrir Abdul Samad
Timbalan : Jelaing anak Mersat

Kementerian Pelajaran

Menteri : Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
Timbalan : Datuk Dr Wee Ka Siong
Timbalan : Datuk Razali Ismail

Kementerian Penerangan

Menteri : Datuk Ahmad Shabery Cheek
Timbalan : Datuk Tan Lian Hoe

Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan

Menteri : Datuk Shafie Apdal
Timbalan : Teng Boon Soon

Kementerian Sumber Manusia

Menteri : Datuk Dr S. Subramaniam
Timbalan : Datuk Noraini Ahmad

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi

Menteri : Datuk Dr Maximus Ongkili
Timbalan : Fadillah Yusof

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan

Menteri : Datuk Ong Ka Chuan
Timbalan : Datuk Robert Lau Hoi Chew
Timbalan : Datuk Hamzah Zainudin

Kementerian Pertahanan

Menteri : Datuk Seri Najib Tun Razak
Timbalan : Datuk Wira Abu Seman Yusop

Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah

Menteri : Tan Sri Muhammad Muhd Taib
Timbalan : Tan Sri Joseph Kurup
Timbalan : Joseph Entulu anak Belaun

Kementerian Luar Negeri

Menteri : Datuk Seri Dr Rais Yatim
Timbalan : Datuk Seri Tengku Azlan Abu Bakar

Kementerian Belia dan Sukan

Menteri : Datuk Ismail Sabri Yaakob
Timbalan : Wee Jeck Seng

Kementerian Kesihatan

Menteri : Datuk Liow Tiong Lai
Timbalan : Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad

Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi

Menteri : Datuk Noh Omar
Timbalan : Datuk Saifuddin Abdullah

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat

Menteri : Datuk Dr Ng Yen Yen
Timbalan : Noriah Kasnon

Kementerian Pelancongan

Menteri : Datuk Seri Azalina Othman Said
Timbalan : Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib

Kementerian Wilayah Persekutuan

Menteri : Datuk Seri Zulhasnan Rafique
Timbalan : Datuk M. Saravanan

Kementerian Pengajian Tinggi

Menteri : Datuk Seri Khaled Nordin
Timbalan : Datuk Dr Hou Kok Chung
Timbalan : Datuk Idris Haron

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar

Menteri : Datuk Douglas Uggah Embas
Timbalan : Datuk Seri Panglima Abdul Ghapur Salleh

05 September 2008

Perkemas khidmat pengangkutan awam


sempena cuti ganti Hari Kemerdekaan, saya mengambil peluang membawa anak ke Kuala Lumpur dari Kota Kemuning menggunakan Komuter dan LRT. Kali terakhir saya menggunakannya adalah pada tahun 2005. Saya juga ingin melalui pengalaman yang dirasakan oleh Perdana Menteri kita.

Keadaannya jauh berbeza dengan apa yang saya lalui sebelum ini. Saya ingin mengutarakan beberapa komen yang saya rasa amat perlu demi menjaga mutu perkhidmatan pengangkutan awam kita.

Saya bertolak mengunakan komuter dari Subang Jaya. Jaringan pengangkutan kita masih lemah, maka terpaksalah menggunakan Subang Jaya sebagai kawasan yang terdekat. Terima kasih atas langkah kerajaan untuk memanjangkan jaringan tersebut. Dan, langkah Kerajaan Selangor memohon LRT hingga ke Shah Alam harus diambil perhatian. Shah Alam adalah ibu negeri Selangor, tetapi masih tiada LRT dan lemah dari segi jaringan pengangkutan.

Di Subang Jaya sahaja, saya dapati beberapa kekurangan. Saya bayangkan bagaimana orang kurang upaya hendak menggunakan komuter. Lif untuk orang kurang upaya masih lagi dalam pembinaan. Laluan khas (jalan kuning berbonjol) untuk orang buta pula menghala ke belakang tangga.

Komuter tidak sekali pun menepati waktu. Komuter menuju ke Sentral sepatutnya pukul 10.36 pagi tetapi terlewat melebihi sepuluh minit. Saya masih ingat lagi bagaimana pemandu kereta api di Jepun dibuang kerja kerana terlewat beberapa saat. Sektor pengangkutan awam sepatutnya mengambil langkah yang perlu memastikan ketepatan masa sebagai satu kemestian. Aturkan kempen atau program untuk melatih pemandu kita menepati masa. Pemandu yang pertama dapat menepati masa (ketepatan dalam saat), berikan mereka pingat, kerana dalam masa 51 tahun merdeka, belum ada mereka yang dapat melakukannya lagi.

Komuter pula terlalu kurang gerabak. Kita berbelanja berjuta ringgit untuk membina landasan tetapi tak mampu untuk membeli gerabak. Sepanjang perjalanan kita terpaksa berdiri. Komuter bukan saja untuk kemudahan namun keselesaan mesti diutamakan juga. Tetapi saya masih terharu dengan masyarakat kita yang masih prihatin. Saya dipelawa duduk oleh seseorang kerana saya sedang mendukung anak. Masih ada kesan dari kempen budi bahasa yang dijalankan.

Saya bertukar komuter ke LRT di Stesen Sentral. Apa yang saya nampak persamaan adalah kebanyakan peralatan baru yang di- perkenalkan dulu, banyak yang telah rosak. Dari mesin membeli tiket hingga ke tempat mengutip tiket automatik. Khidmat manual masih diperlukan. Kemungkinan penyenggaraan tidak dijalankan mengikut jadual.

Kerosakan kemudahan baru mestilah dibaiki dengan segera. Keutamaan mesti juga diberikan kepada penyenggaraan. Latihan yang secukupnya perlu diberikan kepada kakitangan penyenggara. Penggunaan teknologi yang baru mestilah dibawa bersama-sama dengan cara menjaganya.

Kebersihan komuter, LRT dan stesen juga perlu dijaga. Badan komuter terlalu kotor seolah-olah tidak pernah dicuci langsung. Lantai stesen terutamanya ditempat menunggu tidak sekilat dulu.

Komuter adalah juga kemudahan pengangkutan utama yang digunakan oleh pe- lancong-pelancong. Pastikan mereka membawa balik cerita yang baik tentang kebersihan pengangkutan kita, walaupun tidak yang lain.

Amir Husain

Shah Alam

Ruang memiliki rumah

Melonggarkan perbelanjaan bulanan yang menyempit ekoran kenaikan mendadak harga minyak global adalah an- tara yang dibentangkan dalam Bajet 2009.

Sudah pasti akan terdapat lebihan pada baki perbelanjaan bulanan jika merasa lebih mudah, lebih selesa dan tidak leceh untuk memilih menggunakan pengangkutan awam.

Bukan hanya alternatif untuk berjimat, dorongan berterusan dan usaha untuk menangkis hakisan peluang rakyat memiliki rumah dapat dilihat dengan lanjutan pinjaman perumahan untuk kakitangan awam menghampiri tempoh pinjaman perumahan institusi kewangan.

Wajarlah peluang ini tidak dipersiakan malah keputusan pembelian rumah dapat dibuat dengan bijaksana; justeru peluang untuk merebut keuntungan maksimum dan berlipat ganda dengan mengaplikasikan formula yang betul.

Formulanya sangat mudah, masa yang betul dan tempat yang betul maka seperti mana yang diraih oleh pembeli-pembeli rumah di bandar-bandar baru dan kawasan- kawasan yang akan menjadi teras pembangunan.

Mengetahuinya juga adalah mudah sekadar membaca dan menyemak dokumen- dokumen sah kerajaan seperti Draf Rancangan Struktur, Draf Rancangan Tempatan atau Draf Rancangan Kawasan Khas di mana ia dapat dibeli, dirujuk di perpustakaan dan pusat sumber di Pejabat Pentadbiran Daerah atau perbandaran.

Pada 21 Ogos lepas, Draf Rancangan Ka- wasan Khas Tepuh-Batu Enam 2008-2015 telah dipublisitikan kepada orang ramai untuk mendapat pandangan dan ulasan sebagaimana proses penyediaan sesuatu Draf Rancangan Tempatan mengikut kehendak Akta Perancangan Bandar Dan Desa 1976 (Akta 172).

Draf Rancangan Tempatan atau Draf Rancangan Kawasan Khas merupakan perincian dari Rancangan Struktur sesuatu kawasan atau daerah pada kebiasaannya hanya menjadi rujukan kepada pihak-pihak yang terlibat dengan kerja-kerja pemajuan tanah sahaja.

Namun sebagai dokumen yang menerangkan hasrat dan hala tuju perancangan kerajaan di sesebuah tempat, sudah pasti ia akan memberi peluang dan keuntungan kepada setiap individu yang membaca, memahami dan mendapat gambaran mengenainya.

Bukanlah keterlaluan jika dikatakan setiap orang pasti memiliki hajat untuk membeli rumah dan seperti juga perkahwinan, kelahiran anak, persekolahan dan menunaikan haji ia akan menjadi catatan penting dalam diari seseorang.

Maka dalam konteks pembelian rumah, orang ramai wajar memberi pertimbangan yang teliti dari berbagai-bagai aspek dan yang paling utama ialah mengetahui apa yang akan berlaku di masa hadapan pada sesuatu tempat dan persekitaran kawasan rumah yang akan dibeli.

Pihak pemaju kebiasaannya hanya akan menerangkan spesifikasi dan rancangan bagi pihak syarikat dan sudah tentu jika terdapat sesuatu yang akan mengganggu keputusan untuk membeli, pasti tidak akan didedahkan.

Dengan merujuk kepada Draf Rancangan Tempatan, bakal pembeli rumah akan mendapat gambaran yang sebenar untuk memastikan potensi sesuatu tempat demi keselesaan, kemudahan dan kepuasannya malah dapat menikmati keuntungan dari kenaikan nilai hartanah jika mengetahui kawasan yang menjadi teras pembangunan, kawasan yang menjadi fokus atau kawasan yang dirancang sebagai bandar baru.

Tidak menjadi suatu yang sukar untuk merujuk kepada Draf Rancangan Tempatan kerana ia boleh dibeli di pejabat pentadbiran kerajaan tempatan atau dirujuk di perpustakaan awam atau pusat sumber sesebuah pentadbiran kerajaan tempatan.

Walaupun hanya sebuah rumah yang dibeli, rujukan yang kukuh adalah perlu kerana pemilihan tempat merupakan faktor utama yang memberi kesan terhadap hartanya sama ada akan lebih bernilai dari semasa ke semasa atau memberi kesan negatif akibat dari pencemaran, kesesakan dan sebagainya.

Kesilapan membuat keputusan akan mengakibatkan sesalan sepanjang hayat kerana pembelian sesebuah rumah akan menuntut komitmen pembayaran balik dalam tempoh yang panjang dan jumlah bayaran balik pada kebanyakan orang yang membeli secara pinjaman adalah besar dan ia berjalan selama 20 hingga 30 tahun.

Jika sukar untuk merujuk setiap helaian draf sesuatu rancangan struktur atau rancangan tempatan, memadailah dengan memahami hala tuju perancangan kerajaan dan mengetahui jaringan dan hierarki jalan raya, pengangkutan awam, infrastruktur dan utiliti, rekreasi serta zon guna tanah di tapak dan persekitaran kawasan sesebuah pembangunan yang boleh dilihat pada Peta Blok Perancangan dalam Dokumen Draf Rancangan Tempatan.

Paling utama ialah merebut peluang awal ketika harga masih rendah di kawasan yang dirancang menjadi bandar baru atau menjadi kawasan yang akan menjadi teras pembangunan, contohnya seperti Bandar Baru Muadzam Shah yang disebut dalam Rancangan Struktur Sungai Petani sebelum dinamakan sebagai Bandar Aman Jaya yang begitu ketara lonjakan nilainya dan perkara ini dinyatakan dalam Draf Rancangan Tempatan Sungai Petani 1996-2010 (RTSP).

Yusoff Zaky Omar

23 August 2008

Guru lepasan KPLI dikurang


Oleh Haika Khazi

CYBERJAYA: Kerajaan bercadang mengurangkan pengambilan guru siswazah menerusi Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) selepas Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara mula mengeluarkan tenaga pengajar berkelulusan ijazah pada 2011.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata ia sejajar keputusan Dewan Rakyat kelmarin meluluskan Akta Pendidikan 1996 (pindaan 2008) yang membenarkan IPG menyediakan kursus perguruan peringkat ijazah.

Beliau berkata, pengambilan guru siswazah menerusi KPLI adalah sementara dan berdasarkan keperluan atau kekosongan jawatan.


"Ketika ini, IPG hanya boleh mengeluarkan guru lepasan diploma dan sijil. Bagaimanapun, selepas Akta Pendidikan 1996 diluluskan, ia boleh melahirkan lebih ramai guru siswazah dalam tempoh tiga tahun lagi. Berikutan itu, kita perlu mengurangkan pengambilan guru program KPLI secara berperingkat pada masa depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail merasmikan Konvensyen Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di Sekolah Seri Puteri, di sini semalam. Hadir sama, Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kluster kementerian itu, Datin Dr Siti Zaleha Abdullah Sani.

Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, kementerian tidak berhasrat memansuhkan sepenuhnya program KPLI kerana ia masih diperlukan bagi menampung kekurangan guru disebabkan bersara, dinaikkan pangkat atau pembukaan sekolah baru.

Sementara itu, Alimuddin berkata, pihaknya sedia mengkaji semula pemberian insentif dan syarat kenaikan pangkat guru bukan siswazah gred DG44 ke DG48, selepas menerima permohonan rasmi Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP).

IPTA diminta nilai semula peranan


Oleh Mohamed Farid Noh

BANGI: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam menyarankan universiti tempatan khususnya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menilai semula peranan mereka dalam masyarakat supaya graduan dilahirkan mampu memacu negara menangani cabaran getir abad ke-21.

Baginda bertitah, peranan universiti tempatan yang dianggap sebagai institusi yang ditanggung serta diuruskan kerajaan bagi membekalkan modal insan di samping menyediakan landasan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D), perlu diubah bagi memastikannya terus relevan.

Titah baginda, identiti yang sudah lama terpahat pada IPTA perlu pengubahsuaian berikutan cabaran serta realiti zaman moden tidak lagi sama seperti abad lalu kerana cabaran hebat globalisasi termasuk ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dunia.


“Tidak seperti dulu, universiti kini tidak lagi hanya untuk golongan elit dan tertentu saja kerana globalisasi bidang pendidikan menjadikan mereka yang layak menuntut ilmu di sana semakin bertambah.

“Ia menjadikan pertambahan ketara produk pendidikan atau modal insan yang boleh ditawarkan dalam pasaran kerja dan mencetuskan persaingan sengit. Oleh itu, universiti perlu merangka kurikulum serta kaedah baru pengajaran di samping pendekatan lebih dinamik bagi membangunkan perkembangan dan bakat pelajar,” titah baginda.

Raja Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Pengajian Tinggi Antarabangsa ke-20, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Hadir sama, Raja Puan Besar Perak Tuanku Zara Salim dan Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Kira-kira 113 ahli akademik dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Perancis serta Afrika Selatan menghadiri persidangan tiga hari bermula semalam itu yang pertama kali dianjurkan Malaysia.

Syor tiada caj khidmat SMS program sosial


Oleh Azman Mahmood

KUALA LUMPUR: Semua syarikat telekomunikasi disaran mengecualikan caj perkhidmatan bagi sumbangan atau derma disalur menggunakan SMS bagi program tanggungjawab sosial korporat mengikut prinsip syariah daripada syarikat atau individu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sudah tiba masanya syarikat telekomunikasi memberi kerjasama dengan menyediakan perkhidmatan SMS untuk tujuan itu tanpa sebarang caj.

Katanya, jika tiada caj SMS dikenakan, ia akan menarik lebih ramai orang menderma dan pada masa sama boleh mendapatkan pengurangan cukai pendapatan atau cukai korporat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


“Saya sudah berbincang dengan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor mengenainya dan ia sedang dikaji.

“Saya pernah meminta pengecualian caj SMS apabila melancarkan program Wakar al-Quran dengan membuat rayuan kepada Suruhanjaya Komunikasi. Syukur, syarikat telekomunikasi terbabit memulangkan caj (SMS) yang sepatutnya diterima yayasan yang mengendalikan wakaf itu,” katanya selepas majlis pelancaran program televisyen Tijarah Ramadan musim keempat yang akan disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai Ramadan ini, semalam.

Program diterbitkan Johor Corporation dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Johor Corporation, Kamaruzzaman Abu Kassim.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata, syarikat telekomunikasi wajar memberi pengecualian itu kerana memperoleh keuntungan besar menerusi pelbagai perkhid-matan SMS terutama menerusi program realiti televisyen.

“Tahun lalu saja, RM2.2 bilion (diperoleh syarikat telekomunikasi) hasil daripada SMS. Saya berharap lebih banyak syarikat korporat dan konglomerat menyalurkan keuntungan perniagaan untuk program tanggungjawab sosial bagi membantu golongan miskin,” katanya.

Mengenai program televisyen Tijarah Ramadan, beliau berkata, ia medium dakwah berpengaruh bagi membantu golongan miskin menerusi sumbangan disalurkan kepada Tabung Tijarah Ramadan.

“Sumbangan dan usaha membantu golongan yang memerlukan seperti menerusi program Tijarah Ramadan ini diharap tidak berhenti separuh jalan atau selepas program ini selesai disiarkan,” katanya.

Guna kad kredit beli minyak diterus


Oleh Amin Ridzuan Ishak

KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit di stesen minyak bagi membeli petrol dan diesel tidak akan dihentikan pada musim perayaan bulan depan walaupun rayuan pengurangan caj satu peratus terhadap penggunaannya belum diputuskan kerajaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Abdul Wahid Bidin, berkata pihaknya belum bercadang berbuat demikian kerana yakin ada perkembangan positif berhubung tuntutan mereka menjelang musim perayaan.

“Kami tetap menerima kad kredit walaupun menyedari pendapatan pengusaha bakal terjejas berikutan penggunaannya dijangka meningkat mendadak sehingga 90 peratus di mana orang ramai lebih cenderung menggunakannya kerana boleh dibayar kemudian.


“Penggunaan kad kredit yang tinggi menyebabkan kami terpaksa membayar komisen satu peratus kepada bank. Jika pelanggan membayar RM100, pengusaha mendapat RM99 dan RM1 dibayar kepada bank.

“Sudah tentu jumlah diesel dan petrol dijual pada musim perayaan bakal mencapai puluhan ribu liter dan komisen dibayar pun agak tinggi. Bagaimanapun, kami memberi jaminan kad kredit boleh digunakan pada musim perayaan,” katanya semalam.

Beliau ditanya menegnai penggunaan kad kredit pada perayaan Aidilfitri sama ada akan dihentikan berikutan ketiadaan perkembangan terbaru mengenai tuntutan pengusaha berhubung pengurangan caj satu peratus.

Jun lalu, PDAM bertindak menghentikan sementara urus niaga menggunakan kad kredit sehingga kerajaan memenuhi tuntutan mereka supaya menaikkan komisen jualan minyak dan hasilnya kerajaan bersetuju menaikkannya kepada 12.19 sen seliter (petrol) dan 7 sen seliter (diesel).

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad mencadangkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) supaya caj pembelian petrol dan diesel menggunakan kad kredit dikurangkan.

Mengulas lanjut, Wahid berkata, walaupun ada petanda positif hasil perjumpaannya dengan pihak kementerian sebelum ini, pihaknya berharap pengurangan itu dilakukan secepat mungkin.

Panel dengar kes terperap 10 tahun



PUTRAJAYA: Panel Khas Mahkamah Rayuan yang ditubuhkan bagi mengendali dan menyelesaikan 10,000 kes jenayah dan sivil yang tertunggak bersidang buat pertama kali selama dua hari di Istana Keadilan, di sini, semalam dan kelmarin.

Panel berkenaan yang dianggotai Hakim Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Sulong Matjeraie bersidang untuk mendengar dan mengendalikan 191 kes.

Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan berpindah ke Istana Keadilan dari Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur pada Oktober 2003.


Panel itu ditubuhkan untuk mengendalikan kes yang tertangguh dari 1997 hingga tahun lalu berikutan tiada maklum balas daripada peguam, dalam penulisan atau melalui laman web mahkamah bagi menyediakan senarai kes rayuan setiap mereka sejak Februari lalu.

Maklumat peguam diperlukan Mahkamah Rayuan bagi menentukan rayuan yang perlu dijalankan dan yang tidak diteruskan.

Daripada 10,000 kes, 2,000 kes adalah fail kes yang tidak aktif dengan statusnya tidak diketahui oleh mahkamah kerana rekod rayuan tidak difailkan.

Panel itu mengendalikan kes berkenan semalam dan kelmarin dengan rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang sudah meninggal atau bersara.

Sri Ram membuat kenyataan itu pada sesi mahkamah terbuka semalam dengan panel mendengar dan membereskan 67 kes. Mahkamah itu mengendalikan 124 rayuan kelmarin.

Dalam sesetengah kes, satu tarikh baru diberikan selepas pihak berkenaan memohon kepada mahkamah bahawa mereka mahu meneruskan rayuan sementara sesetengah kes pula, rayuan ditarikbalik dan kes tidak aktif dilupuskan.

Sri Ram berkata, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi, selepas berunding dengan rakan hakim, memutuskan untuk melantik satu panel tetap bagi mendengar dan melupuskan kes yang sudah 10 tahun tertangguh.

“Proses itu akan dijalankan dari semasa ke semasa sehingga kes tertangguh dibereskan. Panel itu akan menetapkan satu panel tetap melainkan ada rayuan terhadap keputusan sama ada hakim yang bersidang dalam panel itu,” katanya.

Sri Ram berkata, panel itu akan bersidang bulan depan untuk sesi akan datang dengan setiap sesi akan mengendalikan 100 kes termasuk kes yang keputusan sesuatu mahkamah ditulis oleh hakim tetapi tidak diambil peguam. - Bernama

Peluang siswazah menganggur


Oleh Nurul Farina Nazlan

SERDANG: Koperasi Penternak dan Pengimport Ternakan Malaysia Berhad (Koternak) membuka peluang kepada 41,000 siswazah Melayu yang menganggur membabitkan diri dalam perniagaan penternakan yang diusahakan koperasi berkenaan.

Pengerusinya, Jagjit Singh, berkata langkah itu adalah satu daripada objektif utama penubuhan Koternak iaitu membela serta membantu siswazah menganggur dan idea itu mendapat sokongan penuh daripada Penasihat Koternak yang juga Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaludin.

“Kita mengalu-alukan penyertaan golongan ini kerana bidang penternakan mempunyai potensi luas untuk memperoleh pendapatan lumayan sekali gus meningkatkan industri asas tani negara.


“Kita juga berhasrat melahirkan usahawan muda dan berasa golongan siswazah paling layak untuk diketengahkan dalam program ini,” katanya ketika ditemui di Bilik Media Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (Maha) 2008, di sini, semalam.

Beliau berkata, antara faedah yang diberi kepada siswazah menganggur jika menyertai Koternak ialah yuran pendaftaran percuma dan bayaran untuk saham hanya akan dikenakan selepas memperoleh keuntungan daripada hasil ternakan nanti.

Mereka juga, katanya, diberi latihan intensif selama enam bulan oleh tenaga pengajar pakar, selain berpeluang menjadi tenaga pengajar Koternak.



Siswazah menganggur yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi talian 012-3966605, 018-2083766 atau 018-205337555 atau mengunjungi laman web www.koternak.com.

Harga minyak turun


Oleh Ismail Mat, Abdul Razak Raaff, Haika Khazi dan Wan Faizal Ismayatim

PUTRAJAYA: Kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 masing-masing 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter, manakala harga diesel sebanyak lapan sen kepada RM2.50 seliter, berkuat kuasa jam 12 tengah malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam selaras penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu lalu dan bagi mengimbangi kenaikan kadar inflasi.

“Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga baru petrol dan ia dibuat dengan mengambil kira harga sebenar daripada 1 hingga 21 Ogos lalu serta penetapan subsidi 30 sen seliter bagi kedua-dua RON97 dan RON92.


“Berdasarkan harga diesel RM2.50 seliter pula, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk diesel ialah 50 sen seliter,” katanya dalam kenyataan empat perenggan dikeluarkan pejabatnya, di sini petang semalam.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan berharap penurunan harga petrol dan diesel itu dapat membantu mengurangkan beban pengguna sekali gus meredakan tekanan inflasi, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Semalam, Jabatan Perangkaan mengumumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi angka tunjuk utama inflasi, meningkat kepada 8.5 peratus bagi bulan lalu, berbanding 7.7 peratus pada Jun dan 3.8 peratus sebulan sebelumnya.

Perdana Menteri berkata, keputusan menurunkan harga petrol dan diesel itu juga dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa negara.

Awal bulan lalu, kerajaan mengumumkan bahawa harga runcit petrol sehingga akhir tahun ini akan diselaraskan pada 1 hari bulan setiap bulan, berdasarkan purata bulanan harga minyak dunia dan penetapan subsidi sebanyak 30 sen seliter.

Bagaimanapun formula pelarasan itu hanya akan dilaksanakan jika harga runcit bagi petrol kurang daripada RM2.70 seliter. Sekiranya harga pasaran bagi petrol melebihi RM2.70 seliter, maka harga akan dikekalkan pada RM2.70 dengan kerajaan terpaksa menanggung subsidi lebih tinggi.

Pada 4 Jun lalu, harga runcit petrol dinaikkan 78 sen daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala harga diesel meningkat RM1 daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter, sejajar penstrukturan semula subsidi minyak,

Sementara itu dalam sidang media di Bachok, Kelantan, Perdana Menteri menegaskan, tindakan kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel mulai hari ini, tiada kena mengena dengan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Abdullah berkata, harga bahan bakar itu diturunkan untuk kepentingan seluruh rakyat negara ini, mengikut mekanisme yang ditetapkan selepas Kabinet berbincang mengenai penurunan harga minyak di pasaran dunia sebelum ini.

“Tiada kena mengena...Masa Kabinet berbincang pagi ini, Tan Sri Nor (Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua) maklumkan, harga minyak dunia yang turun sebelum ini mula mencatat kenaikan semula.

“Jika naik lagi lepas ini, tanpa kita buat apa-apa ketika harganya turun, akhir bulan nanti apabila buat purata, saya bimbang kita tidak dapat berikan pengurangan kepada rakyat. Tindakan itu pasti dipertikaikan nanti.

“Penurunan ini adalah untuk seluruh rakyat, bukan untuk Permatang Pauh. Kalau harga naik balik pun selepas ini, kita sudah tetapkan yang harga minyak tidak akan lebih RM2.70 seliter yang kita tetapkan sepanjang tahun ini,” katanya selepas merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengedaran (CPPC) Kenaf di Beris Lalang.

Abdullah berkata, walaupun harga minyak diturunkan mulai hari ini, kerajaan tetap akan menilai semula kadar itu pada 31 Ogos ini dan memberi jaminan harga akan dikurangkan lagi jika minyak dunia terus mencatatkan penurunan.

Katanya, pembayaran rebat tunai yang dibuat bagi meringankan beban pemilik kenderaan berikutan kenaikan harga minyak sebelum ini juga akan diteruskan sehingga Mac tahun depan, meskipun harga bahan bakar itu diturunkan.

“Saya yakin penurunan harga ini memberi faedah kepada rakyat. Pada peringkat ini, inflasi naik sehingga 8.5 peratus. Ini bermakna harga barang pun naik, jadi elok juga kita ambil tindakan (turunkan harga minyak) dan ia memang harapan banyak orang,” katanya.

Beliau berkata, penurunan harga minyak itu dibuat berdasarkan subsidi 30 sen yang terpaksa ditanggung dan bukannya seperti janji pembangkang yang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat tanpa memikir akibat lain.

Katanya, berikutan penurunan harga minyak itu juga, kerajaan mahu peniaga tidak bersikap tamak dengan turut berusaha menurunkan harga barang atau caj perkhidmatan yang dikenakan supaya manfaatnya dapat dikongsi bersama.

20 July 2008

29 pelan rapat jurang ekonomi



KUALA LUMPUR: Konvensyen Ekonomi Bumiputera (KEB) 2008 menggariskan 29 pelan tindakan bagi merapatkan jurang sosio ekonomi Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Pelan tindakan itu bagi merapatkan jurang pemilikan saham, bilangan pengurusan dan profesional, taraf pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah dan pemilikan lain-lain aset yang masih terkebelakang.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik, ketika melancarkan resolusi itu semalam, berkata pelan tindakan yang digariskan dalam resolusi itu akan dibukukan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai rujukan semua pihak termasuk kerajaan dalam membantu membangunkan ekonomi Bumiputera.


Pelan tindakan yang digariskan dalam resolusi empat muka surat yang dijana daripada enam sesi forum anjuran Gabem dan Pemuda Umno itu, antara lain menggariskan gesaan terhadap sektor swasta Bumiputera untuk lebih cergas dalam meningkatkan penguasaan ekonomi termasuk mengurangkan gejala ketirisan.

Resolusi yang dikeluarkan pada akhir sidang pleno hari kedua konvensyen bertemakan ‘Melonjakkan Ekonomi Bumiputera’ berakhir semalam, juga menyeru pelaburan syarikat Bumiputera dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditingkatkan termasuk di koridor negara.

Selain itu, menggesa kerajaan meneruskan perbelanjaan dan bukannya mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan ekonomi dapat terus bergerak dan berkembang.

Ia juga mencadangkan ditingkatkan keusahawanan Bumiputera menerusi program latihan kemahiran dan pakej bantuan supaya setiap yang dibantu berjaya dan meningkatkan jalinan dalam perniagaan serta penguasaan rantaian nilai setiap sektor ekonomi.

Koordinasi antara kementerian dan agensi juga digesa ditingkatkan dalam membantu masyarakat ekonomi Bumiputera selain lebih cepat memberi perkhidmatan.

Konvensyen yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari kalangan usahawan dan pemikir ekonomi Bumiputera negara itu, turut meminta kerajaan bertukar dari negara berteraskan politik kepada berteraskan perniagaan, selain memperkasakan modal insan dengan mengambil kira isu globalisasi, meningkatkan daya saing dan kebolehan berfikiran global.

Resolusi KEB 2008 turut menggesa rancangan kelompok ekonomi di bawah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) generasi baru digerakkan dengan kerjasama kerajaan dan masyarakat ekonomi Bumiputera, selain mencadangkan diwujudkan Majlis Perdagangan Bumiputera dan mempercepatkan pembangunan rantaian Persyarikatan Bumiputera, serta mewujudkan rangkaian bekalan Bumiputera dengan GLC mempeloporinya.

Ia turut mencadangkan syarikat Melayu yang berjaya di pasaran terbuka dijadikan contoh kepada masyarakat ekonomi Bumiputera, manakala kerajaan dan bank perlu memiliki minda serta pendekatan baru untuk menolong Bumiputera.

RM140 juta naik taraf kereta api Bukit Bendera



BUTTERWORTH: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM140 juta bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam dan menaik taraf Sistem Kereta Api Bukit Bendera di Pulau Pinang.

Sebanyak RM100 juta akan digunakan untuk membeli 200 bas awam yang akan dikendalikan Rapid Penang Sdn Bhd (RapidPenang), manakala RM40 juta lagi untuk memperbaiki sistem kereta api di pusat peranginan yang berusia hampir 100 tahun itu.

Pengumuman itu dibuat Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sekali gus menolak tohmahan kerajaan negeri bahawa Kerajaan Pusat menghukum rakyat Pulau Pinang yang memilih Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.


Nor Mohamed berkata, walaupun projek menaik taraf Sistem Keretapi Bukit Bendera digugurkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kerajaan Pusat mengambil keputusan untuk meneruskannya.

"Kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri (Lim Guan Eng) merayu kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan tiga hari lalu, saya juga merayu kepada Perdana Menteri supaya memasukkan semula projek itu," katanya selepas majlis pelancaran Terminal Pengangkutan Sementara Penang Sentral di sini, semalam.

Ketika ini, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera digantung sementara bagi membawa pelancong kerana kerja pembaikan sedang dilakukan, tetapi masih boleh digunakan penduduk setempat berulang alik setiap hari.

Mengenai RapidPenang, Nor Mohamed berkata, pembelian 200 bas itu akan dilakukan secara berperingkat sehingga akhir tahun depan.

RapidPenang yang dilancarkan setahun lalu, kini mempunyai 150 bas yang menawarkan perkhidmatan di 33 laluan membabitkan 106 kawasan perumahan dengan bilangan penumpang kira-kira 48,000 sehari.

"Dengan pertambahan itu, RapidPenang akan mempunyai 350 bas menjelang akhir 2009 dengan tambahan 14 lagi laluan perkhidmatan. Bilangan penumpang juga dijangka meningkat kepada 120,000 sehari.

"Ketika ini, kira-kira 10 peratus penduduk negeri ini menggunakan pengangkutan awam dan ia dijangka meningkat kepada 30 peratus menjelang 2010," katanya yang yakin kemudahan itu dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

Selain itu, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), Datuk Ahmad Ibnihajar bagi membolehkan perkhidmatan feri beroperasi 24 jam sehari pada hujung minggu dan cuti umum bagi mengurangkan kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang.

Mengulas permintaan Kerajaan Pulau Pinang supaya Kerajaan Pusat menggantikan wang tunai sebanyak RM4.7 bilion berikutan penangguhan projek Jalan Lingkaran Luar Pinang (PORR) dan monorel, beliau hanya berkata, projek itu tidak termasuk dalam RMK-9 dan membabitkan peruntukan yang besar.

70 kena penjara di luar negara


Oleh Ridzuan Yop

KUALA KANGSAR: Lebih 70 rakyat negara ini, termasuk wanita dipercayai meringkuk dalam penjara negara asing di seluruh dunia akibat terperangkap dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Daripada jumlah itu, 40 orang, disahkan dipenjarakan di negara asing, termasuk di Eropah, Amerika Selatan, China serta Australia sehingga membimbangkan kerajaan dan keluarga mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (gambar), berkata kerajaan yakin bilangan rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara lebih tinggi daripada rekod kerana tidak mendapat maklumat tepat mengenainya berikutan tiada laporan dibuat.


"Ini adalah satu fenomena yang amat mengejutkan. Mereka ini, khususnya wanita tempatan terpedaya dengan janji manis sindiket yang menawarkan pekerjaan dan gaji lumayan serta tiket kapal terbang ke luar negara,” katanya.

Reka bentuk kediaman dorong kes pecah rumah


Oleh Abd Rahman Adam

KUCHING: Sikap masyarakat yang terlalu mementingkan nilai estetika serta reka bentuk rumah, tanpa mengambil kira ciri keselamatan, dikenal pasti punca meningkatnya kejadian pecah rumah di negara ini.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata aspek keselamatan perlu diutamakan apabila merancang membina kediaman, termasuk mengenal pasti latar belakang kawasan supaya dapat memastikan ciri keselamatan yang perlu dilakukan.

“Ini bagi mengelak menjadi mangsa kejadian pecah rumah dan samun sekali gus membendung kejadian sama berulang di kawasan kediaman masing-masing,” katanya ditemui selepas Seminar ‘Rumahku - Kediaman Selamat’ di sini semalam.


Seminar anjuran Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Negeri Sarawak serta Kelab Sumber Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber itu bertujuan memberi panduan dan siri pertolongan cemas kepada peserta khususnya menyelamatkan warga tua, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak ketika berlakunya kebakaran.

Kamal berkata, kejadian pecah rumah di Sarawak masih pada tahap terkawal namun keadaan itu tidak boleh dijadikan alasan mengabaikan keselamatan tempat kediaman.

“Setakat ini, statistik menunjukkan jumlah kejadian dan jenayah di Sarawak masih kecil jika dibandingkan dengan kadar jenayah yang berlaku di Semenanjung,” katanya.

PBT ada kuasa batal persembahan artis





KUANTAN: Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan hanya meluluskan permohonan artis luar mengadakan persembahan di negara ini dan tidak mempunyai kuasa jika pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri tidak mengeluarkan permit persembahan berkenaan.

Ketua Setiausaha kementerian, Dr Muzahet Masruri, berkata kementerian menerusi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) hanya memudahkan kemasukan artis bagi menjayakan persembahan mengikut garis panduan yang ditetapkan.


Beliau berkata, setiap artis luar negara perlu bersetuju mengikut panduan Puspal, termasuk tidak berpakaian mencolok mata dan menghormati budaya masyarakat tempatan.

Mengenai kes penyanyi dangdut Indonesia, Inul Daratista, Puspal sudah meluluskan permohonannya mengadakan persembahan dengan syarat mengurangkan aksi gelek keterlaluan, malah sebelum ini dia pernah dua kali mengadakan persembahan di negara ini.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan Dewan Bandaraya Johor Bahru tidak meluluskan permit untuk persembahan, justeru, keputusan muktamad PBT negeri terbabit dan kita tidak ada kuasa untuk menghalangnya," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kekecohan pembatalan saat akhir Konsert Inul Live In JB yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunus kelmarin dan dipindahkan lokasi ke Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Julai ini.

Malah penyanyi yang terkenal dengan gelek gerudi itu dilaporkan hampir pitam berikutan terkejut dengan pembatalan konsertnya di Johor Bahru.

Terdahulu, Dr Muzahet merasmikan Pejabat Pelesenan dan Penguat Kuasa Cawangan Timur kementerian yang juga pejabat pertama dirasmikan daripada enam cawangan seluruh negara, di sini, semalam.

Najib komited peralihan kuasa 2010



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau komited terhadap pelan peralihan kuasa yang sudah dipersetujuinya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan menyerahkan teraju pemerintahan kepada beliau pada pertengahan 2010.

Berikutan itu, Timbalan Presiden Umno itu berkata, Umno Bahagian Pekan yang diketuainya akan mencadangkan Abdullah sebagai Presiden parti dan beliau sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti Disember depan.

Najib berkata demikian apabila ditanya mengenai satu daripada cawangan Umno dalam Bahagian Pekan yang mencalonkan nama beliau untuk jawatan Presiden.


“Itu satu cawangan saja... ada 134 cawangan lagi... jadi Bahagian Pekan, saya sebagai Ketua Bahagian, saya komited kepada pelan peralihan yang saya dah terima,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Umno Cawangan Kampung Ubai Bahagian Pekan kelmarin meluluskan usul tergempar mencadangkan Najib bertanding jawatan Presiden pada pemilihan Disember depan.

11 July 2008

Harga susu segar naik selepas 25 tahun



KOTA KINABALU: Selepas lebih 25 tahun menanti berita gembira, penternak tenusu di Sabah kini menarik nafas lega apabila kerajaan negeri menaikkan harga susu segar baru-baru ini.

Harga bahan minuman itu dinaikkan kepada RM2.50 seliter berbanding RM1.50 seliter sejak 25 tahun lalu.


Setiausaha Persatuan Penternak Tenusu Sabah, Gerald Baxter, berkata kenaikan itu memberi nafas baru kepada lebih 100 penternak lembu yang masih beroperasi.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman kerana mengambil keputusan menaikkan harga susu segar.

"Kami percaya kenaikan itu memberi semangat kepada kami untuk meneruskan perniagaan kami," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Baru-baru ini Musa yang juga Menteri Kewangan negeri mengumumkan kenaikan harga susu berkenaan bagi memastikan penternak lembu tenusu tidak terus mengalami kerugian.

Ia berikutan permohonan penternak lembu tenusu supaya harga berkenaan dinaikkan berikutan kenaikan 100 peratus harga bahan makanan lembu tenusu.

Gerald berkata, kenaikan harga bahan api baru-baru ini turut menyebabkan kenaikan kos penternakan haiwan berkenaan, menyebabkan ramai penternak tidak mampu bertahan dalam industri itu.

"Industri tenusu berpotensi berkembang di negeri ini. Sokongan kerajaan negeri akan membantu meningkatkan industri ini ke tahap lebih tinggi," katanya.

Durian dieksport ke China


Oleh Mohd Roji Abdullah



Permintaan tinggi dapat atasi lambakan buah selepas harga merudum

BATU PAHAT: Isu lambakan durian kerana pengeluaran yang agak banyak sehingga menyebabkan harganya merudum di pasaran tempatan akan diatasi dengan mengeksport `raja buah' itu ke negara China tidak lama lagi.


Permintaan yang tinggi dari negara berkenaan bukan saja akan memberi faedah kepada pemilik dusun malah akan membantu menstabilkan harga durian di pasaran tempatan yang sebelum ini dianggap kurang menguntungkan pemilik dusun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Aziz Kaprawi, berkata persetujuan sudah dicapai antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan pihak berkuasa pertanian negara China 13 Mei lalu yang membenarkan durian dieksport ke negara itu.

Katanya, persetujuan yang dicapai dua negara itu membolehkan lebih banyak kawasan dusun baru dijangka dibuka di seluruh negeri kerana pengusaha semakin yakin, tidak akan berlaku isu lambakan durian pada masa depan.

"Memang diakui, sebelum ini ramai pemilik dusun kecewa dan ada yang bertindak menebang durian mereka kerana tidak sanggup menanggung kerugian akibat berlakunya lambakan durian di pasaran tempatan sehingga menyebabkan harganya jatuh teruk.

"Perkembangan terbaru berikutan keputusan yang membolehkan buah durian dieksport ke China pastinya melegakan pemilik dusun kerana yang pasti hasil tanaman mereka itu berpeluang menembusi pasaran yang lebih luas dan di pasaran tempatan pula, jumlah durian dapat dihadkan yang akhirnya membuatkan harga stabil.

"Sekarang kita tengok, pada awal musim harga durian terlalu mahal sehingga ramai yang tidak mampu membelinya, tetapi apabila berlaku lambakan di pertengahan atau penghujung musim, harganya jatuh teruk dan ini akan merugikan penanam pula," katanya.

Beliau berkata, mengikut persetujuan yang dicapai, buah durian dibenarkan dieksport dalam bentuk sejuk beku sama ada durian biji, ulas durian yang dimasukkan ke dalam bekas lain atau durian yang sudah diproses dalam bentuk cip.

Katanya, durian sudah mula dieksport ke China awal Jun lalu, tetapi beliau belum menerima laporan jumlah sebenar yang sudah memasuki pasaran negara itu.

"Kita tidak menghadapi masalah untuk menyediakan produk durian yang menepati syarat eksport itu kerana kita mempunyai sebuah pusat penyejuk beku durian di Tangkak yang boleh menyimpan jumlah buah yang banyak pada satu-satu masa," katanya.

Syor pelatih PLKN sertai Rakan Cop


Oleh Wan Faizal Ismayatim

KUALA KRAI: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan mengemukakan cadangan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, untuk mendaftarkan lebih 365,000 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai ahli Rakan Cop bagi membantu menjalankan tugas pencegahan jenayah.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata bekas pelatih program perlu digerakkan dengan tugasan pencegahan jenayah memandangkan mereka mempunyai asas latihan serta disiplin tinggi yang dibentuk sepanjang menjalani latihan.

"Kita mahu bekas pelatih yang sudah diterapkan dengan nilai murni serta asas disiplin yang kukuh membantu polis menjaga keamanan yang dapat memberi faedah kepada masyarakat kerana mereka datang dari pelbagai latar belakang, berbilang bangsa serta menetap di seluruh pelusuk negara.


"Setiap tahun, lebih 100,000 pelatih PLKN menamatkan latihan dan saya fikir mereka boleh digerakkan untuk membantu menjaga keamanan negara dan adalah merugikan jika mereka tidak memainkan peranan mencegah jenayah di tempat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutup Kursus `Training of Trainers' Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disertai 76 bakal jurulatih fizikal PLKN dari kalangan anggota polis di Kem PLKN Batu Jong, di sini, semalam.

Sejak 2004, setiap kem latihan PLKN di seluruh negara ditempatkan dengan seorang anggota polis yang bertanggungjawab sebagai jurulatih fizikal, selain anggota terbabit berperanan menjadi penghubung antara kem latihan dengan balai polis berdekatan.

Abdul Hadi berkata, ketika ini, pelatih diwajibkan mengikuti modul pencegahan jenayah dan pengendalian senjata yang dijalankan dengan kerjasama polis menerusi penggunaan lapang sasar PDRM selain milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Diharapkan, pembabitan anggota polis sebagai jurulatih dapat melatih pelatih menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang. Malah, usaha mendaftarkan pelatih sebagai ahli Rakan Cop juga mampu memperkasakan usaha pencegahan jenayah," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, sejumlah RM2.37 bilion sudah dibelanjakan kerajaan bagi menjayakan PLKN sejak 2004 hingga 2007, yang memberi banyak manfaat serta membentuk jati diri mulia di kalangan pelatihnya.

Beliau berkata, walaupun penganjuran PLKN membabitkan peruntukan besar, kesan positif program itu jelas menunjukkan wang rakyat dibelanjakan untuk tujuan yang baik demi masa depan golongan muda.

"Kita nak memberitahu rakyat bahawa wang RM2.37 bilion itu digunakan dengan sebaik mungkin, demi melahirkan golongan remaja yang bertanggungjawab, mempunyai jati diri serta mempunyai sahsiah dan berakhlak mulia.

"Walaupun jumlah yang dibelanjakan itu besar, sebenarnya nilai positif yang diterapkan kepada remaja lebih bernilai berbanding RM2.37 bilion yang dihabiskan kerajaan," katanya.

Najib pengganti baik: Abdullah



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menjelaskan beliau memilih Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya kerana yakin dan percaya timbalannya itu dapat memimpin parti dengan baik.

Perdana Menteri juga menyifatkan keputusan itu sebagai penghargaannya kepada Najib yang akan diberi mandat menggantikan beliau bagi memimpin parti dan kerajaan pada pertengahan 2010.

"Saya hargai kesediaan Najib kerana terima cadangan ini dan saya percaya Najib akan menjadi pengganti yang baik.


"Saya hargai persahabatan baik dengan Najib dan persefahaman baik pada peringkat cukup tinggi mengenai isu yang sama-sama kami hadapi dalam parti dan kerajaan serta kerja yang dilaksanakan bersama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini.

Mengenai penerimaan ahli Umno, Abdullah berkata, anggota MT dan ketua bahagian diharap dapat memberi penjelasan kepada ahli akar umbi mengenai peralihan kuasa itu.