Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 July 2008

Syor pelatih PLKN sertai Rakan Cop


Oleh Wan Faizal Ismayatim

KUALA KRAI: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan mengemukakan cadangan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, untuk mendaftarkan lebih 365,000 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai ahli Rakan Cop bagi membantu menjalankan tugas pencegahan jenayah.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata bekas pelatih program perlu digerakkan dengan tugasan pencegahan jenayah memandangkan mereka mempunyai asas latihan serta disiplin tinggi yang dibentuk sepanjang menjalani latihan.

"Kita mahu bekas pelatih yang sudah diterapkan dengan nilai murni serta asas disiplin yang kukuh membantu polis menjaga keamanan yang dapat memberi faedah kepada masyarakat kerana mereka datang dari pelbagai latar belakang, berbilang bangsa serta menetap di seluruh pelusuk negara.


"Setiap tahun, lebih 100,000 pelatih PLKN menamatkan latihan dan saya fikir mereka boleh digerakkan untuk membantu menjaga keamanan negara dan adalah merugikan jika mereka tidak memainkan peranan mencegah jenayah di tempat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutup Kursus `Training of Trainers' Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disertai 76 bakal jurulatih fizikal PLKN dari kalangan anggota polis di Kem PLKN Batu Jong, di sini, semalam.

Sejak 2004, setiap kem latihan PLKN di seluruh negara ditempatkan dengan seorang anggota polis yang bertanggungjawab sebagai jurulatih fizikal, selain anggota terbabit berperanan menjadi penghubung antara kem latihan dengan balai polis berdekatan.

Abdul Hadi berkata, ketika ini, pelatih diwajibkan mengikuti modul pencegahan jenayah dan pengendalian senjata yang dijalankan dengan kerjasama polis menerusi penggunaan lapang sasar PDRM selain milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Diharapkan, pembabitan anggota polis sebagai jurulatih dapat melatih pelatih menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang. Malah, usaha mendaftarkan pelatih sebagai ahli Rakan Cop juga mampu memperkasakan usaha pencegahan jenayah," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, sejumlah RM2.37 bilion sudah dibelanjakan kerajaan bagi menjayakan PLKN sejak 2004 hingga 2007, yang memberi banyak manfaat serta membentuk jati diri mulia di kalangan pelatihnya.

Beliau berkata, walaupun penganjuran PLKN membabitkan peruntukan besar, kesan positif program itu jelas menunjukkan wang rakyat dibelanjakan untuk tujuan yang baik demi masa depan golongan muda.

"Kita nak memberitahu rakyat bahawa wang RM2.37 bilion itu digunakan dengan sebaik mungkin, demi melahirkan golongan remaja yang bertanggungjawab, mempunyai jati diri serta mempunyai sahsiah dan berakhlak mulia.

"Walaupun jumlah yang dibelanjakan itu besar, sebenarnya nilai positif yang diterapkan kepada remaja lebih bernilai berbanding RM2.37 bilion yang dihabiskan kerajaan," katanya.