Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 July 2008

Durian dieksport ke China


Oleh Mohd Roji Abdullah



Permintaan tinggi dapat atasi lambakan buah selepas harga merudum

BATU PAHAT: Isu lambakan durian kerana pengeluaran yang agak banyak sehingga menyebabkan harganya merudum di pasaran tempatan akan diatasi dengan mengeksport `raja buah' itu ke negara China tidak lama lagi.


Permintaan yang tinggi dari negara berkenaan bukan saja akan memberi faedah kepada pemilik dusun malah akan membantu menstabilkan harga durian di pasaran tempatan yang sebelum ini dianggap kurang menguntungkan pemilik dusun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Aziz Kaprawi, berkata persetujuan sudah dicapai antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan pihak berkuasa pertanian negara China 13 Mei lalu yang membenarkan durian dieksport ke negara itu.

Katanya, persetujuan yang dicapai dua negara itu membolehkan lebih banyak kawasan dusun baru dijangka dibuka di seluruh negeri kerana pengusaha semakin yakin, tidak akan berlaku isu lambakan durian pada masa depan.

"Memang diakui, sebelum ini ramai pemilik dusun kecewa dan ada yang bertindak menebang durian mereka kerana tidak sanggup menanggung kerugian akibat berlakunya lambakan durian di pasaran tempatan sehingga menyebabkan harganya jatuh teruk.

"Perkembangan terbaru berikutan keputusan yang membolehkan buah durian dieksport ke China pastinya melegakan pemilik dusun kerana yang pasti hasil tanaman mereka itu berpeluang menembusi pasaran yang lebih luas dan di pasaran tempatan pula, jumlah durian dapat dihadkan yang akhirnya membuatkan harga stabil.

"Sekarang kita tengok, pada awal musim harga durian terlalu mahal sehingga ramai yang tidak mampu membelinya, tetapi apabila berlaku lambakan di pertengahan atau penghujung musim, harganya jatuh teruk dan ini akan merugikan penanam pula," katanya.

Beliau berkata, mengikut persetujuan yang dicapai, buah durian dibenarkan dieksport dalam bentuk sejuk beku sama ada durian biji, ulas durian yang dimasukkan ke dalam bekas lain atau durian yang sudah diproses dalam bentuk cip.

Katanya, durian sudah mula dieksport ke China awal Jun lalu, tetapi beliau belum menerima laporan jumlah sebenar yang sudah memasuki pasaran negara itu.

"Kita tidak menghadapi masalah untuk menyediakan produk durian yang menepati syarat eksport itu kerana kita mempunyai sebuah pusat penyejuk beku durian di Tangkak yang boleh menyimpan jumlah buah yang banyak pada satu-satu masa," katanya.