KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menjelaskan beliau memilih Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya kerana yakin dan percaya timbalannya itu dapat memimpin parti dengan baik.
Perdana Menteri juga menyifatkan keputusan itu sebagai penghargaannya kepada Najib yang akan diberi mandat menggantikan beliau bagi memimpin parti dan kerajaan pada pertengahan 2010.
"Saya hargai kesediaan Najib kerana terima cadangan ini dan saya percaya Najib akan menjadi pengganti yang baik.
"Saya hargai persahabatan baik dengan Najib dan persefahaman baik pada peringkat cukup tinggi mengenai isu yang sama-sama kami hadapi dalam parti dan kerajaan serta kerja yang dilaksanakan bersama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini.
Mengenai penerimaan ahli Umno, Abdullah berkata, anggota MT dan ketua bahagian diharap dapat memberi penjelasan kepada ahli akar umbi mengenai peralihan kuasa itu.