Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 July 2008

Wan Azizah dapat 'Datuk Seri'



GEORGETOWN: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail akan dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena hari ulang tahun Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas ke-70, Sabtu ini.

Wan Azizah adalah penerima tunggal dari kalangan ahli politik Pakatan Rakyat yang masih aktif, sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Ia berikutan keputusan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang tidak memberikan sebarang darjah kebesaran dan pingat kepada ahli politik yang masih aktif, kecuali Wan Azizah.


Mengumumkan sembilan penerima utama darjah kebesaran dan pingat bagi tahun ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, mendahului senarai penerima.

Abdul Hamid, yang berasal dari negeri ini akan dianugerahkan darjah tertinggi negeri, Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Katanya, Abdul Hamid mengharumkan nama negeri kelahirannya dengan prestasi dan pencapaian cemerlang dalam bidang kehakiman dan perundangan.

"Apa yang lebih penting adalah kesedaran beliau dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan menjalankan pembaharuan yang diperlukan untuk memenuhi prinsip keadilan yang sama rata dan menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Majlis pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat akan diadakan di Dewan Sri Pinang di sini, esok.

Tujuh orang akan dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, termasuk Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Panglima Ahmad Said Hamdan.

Turut menerima DGPN ialah Pengerusi Ewein Berhad, Datuk Ewe Tiong Hor; Pengarah Urusan Perbadanan Pembangunan Industri Halal, Datuk Jamil Bidin; Pengarah Urusan Pakatan International, Md Isahak & Rakan-Rakan Sdn Bhd, Datuk Md Isahak Md Yusuf.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohamed Ismail Merican; Pengarah Eksekutif Ivory Properties Group, Datuk Nazir Ariff Mushir Ariff dan Pengarah Eskekutif Pensonic Holdings Berhad, Datuk Tan King Tai @ Tan Khoon Hai.

Senarai lengkap penerima lain akan dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, bilangan penerima pingat yang membawa gelaran Datuk tahun ini berkurangan kira-kira 50 peratus berbanding 82 orang pada tahun lalu.

"Ahli politik daripada DAP, PKR dan Pas yang masih aktif serta kaunselor tidak diberikan pingat. Ini adalah satu perubahan daripada apa yang dilakukan kerajaan terdahulu," katanya.

Ditanya kenapa Wan Azizah diberi darjah kebesaran, Guan Eng berkata, ia adalah satu kes istimewa dan beliau yang mewakili kerajaan negeri yang mencadangkannya.

"Ini sesuai dengan pengorbanan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi beliau kepada suami, rakyat dan negara," katanya.