Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 July 2008

29 pelan rapat jurang ekonomi



KUALA LUMPUR: Konvensyen Ekonomi Bumiputera (KEB) 2008 menggariskan 29 pelan tindakan bagi merapatkan jurang sosio ekonomi Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Pelan tindakan itu bagi merapatkan jurang pemilikan saham, bilangan pengurusan dan profesional, taraf pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah dan pemilikan lain-lain aset yang masih terkebelakang.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik, ketika melancarkan resolusi itu semalam, berkata pelan tindakan yang digariskan dalam resolusi itu akan dibukukan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai rujukan semua pihak termasuk kerajaan dalam membantu membangunkan ekonomi Bumiputera.


Pelan tindakan yang digariskan dalam resolusi empat muka surat yang dijana daripada enam sesi forum anjuran Gabem dan Pemuda Umno itu, antara lain menggariskan gesaan terhadap sektor swasta Bumiputera untuk lebih cergas dalam meningkatkan penguasaan ekonomi termasuk mengurangkan gejala ketirisan.

Resolusi yang dikeluarkan pada akhir sidang pleno hari kedua konvensyen bertemakan ‘Melonjakkan Ekonomi Bumiputera’ berakhir semalam, juga menyeru pelaburan syarikat Bumiputera dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditingkatkan termasuk di koridor negara.

Selain itu, menggesa kerajaan meneruskan perbelanjaan dan bukannya mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan ekonomi dapat terus bergerak dan berkembang.

Ia juga mencadangkan ditingkatkan keusahawanan Bumiputera menerusi program latihan kemahiran dan pakej bantuan supaya setiap yang dibantu berjaya dan meningkatkan jalinan dalam perniagaan serta penguasaan rantaian nilai setiap sektor ekonomi.

Koordinasi antara kementerian dan agensi juga digesa ditingkatkan dalam membantu masyarakat ekonomi Bumiputera selain lebih cepat memberi perkhidmatan.

Konvensyen yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari kalangan usahawan dan pemikir ekonomi Bumiputera negara itu, turut meminta kerajaan bertukar dari negara berteraskan politik kepada berteraskan perniagaan, selain memperkasakan modal insan dengan mengambil kira isu globalisasi, meningkatkan daya saing dan kebolehan berfikiran global.

Resolusi KEB 2008 turut menggesa rancangan kelompok ekonomi di bawah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) generasi baru digerakkan dengan kerjasama kerajaan dan masyarakat ekonomi Bumiputera, selain mencadangkan diwujudkan Majlis Perdagangan Bumiputera dan mempercepatkan pembangunan rantaian Persyarikatan Bumiputera, serta mewujudkan rangkaian bekalan Bumiputera dengan GLC mempeloporinya.

Ia turut mencadangkan syarikat Melayu yang berjaya di pasaran terbuka dijadikan contoh kepada masyarakat ekonomi Bumiputera, manakala kerajaan dan bank perlu memiliki minda serta pendekatan baru untuk menolong Bumiputera.