Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 August 2008

Harga minyak turun


Oleh Ismail Mat, Abdul Razak Raaff, Haika Khazi dan Wan Faizal Ismayatim

PUTRAJAYA: Kerajaan menurunkan harga runcit petrol RON97 dan RON92 masing-masing 15 sen dan 22 sen kepada RM2.55 dan RM2.40 seliter, manakala harga diesel sebanyak lapan sen kepada RM2.50 seliter, berkuat kuasa jam 12 tengah malam tadi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Kabinet semalam selaras penurunan harga minyak dunia sejak beberapa minggu lalu dan bagi mengimbangi kenaikan kadar inflasi.

“Jemaah Menteri hari ini mengambil keputusan mempercepatkan tarikh penguatkuasaan pelarasan harga baru petrol dan ia dibuat dengan mengambil kira harga sebenar daripada 1 hingga 21 Ogos lalu serta penetapan subsidi 30 sen seliter bagi kedua-dua RON97 dan RON92.


“Berdasarkan harga diesel RM2.50 seliter pula, subsidi yang ditanggung oleh kerajaan untuk diesel ialah 50 sen seliter,” katanya dalam kenyataan empat perenggan dikeluarkan pejabatnya, di sini petang semalam.

Abdullah yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan berharap penurunan harga petrol dan diesel itu dapat membantu mengurangkan beban pengguna sekali gus meredakan tekanan inflasi, khususnya kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

Semalam, Jabatan Perangkaan mengumumkan Indeks Harga Pengguna (IHP) yang menjadi angka tunjuk utama inflasi, meningkat kepada 8.5 peratus bagi bulan lalu, berbanding 7.7 peratus pada Jun dan 3.8 peratus sebulan sebelumnya.

Perdana Menteri berkata, keputusan menurunkan harga petrol dan diesel itu juga dibuat berdasarkan perkembangan ekonomi semasa negara.

Awal bulan lalu, kerajaan mengumumkan bahawa harga runcit petrol sehingga akhir tahun ini akan diselaraskan pada 1 hari bulan setiap bulan, berdasarkan purata bulanan harga minyak dunia dan penetapan subsidi sebanyak 30 sen seliter.

Bagaimanapun formula pelarasan itu hanya akan dilaksanakan jika harga runcit bagi petrol kurang daripada RM2.70 seliter. Sekiranya harga pasaran bagi petrol melebihi RM2.70 seliter, maka harga akan dikekalkan pada RM2.70 dengan kerajaan terpaksa menanggung subsidi lebih tinggi.

Pada 4 Jun lalu, harga runcit petrol dinaikkan 78 sen daripada RM1.92 kepada RM2.70 seliter manakala harga diesel meningkat RM1 daripada RM1.58 kepada RM2.58 seliter, sejajar penstrukturan semula subsidi minyak,

Sementara itu dalam sidang media di Bachok, Kelantan, Perdana Menteri menegaskan, tindakan kerajaan menurunkan harga petrol dan diesel mulai hari ini, tiada kena mengena dengan kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Abdullah berkata, harga bahan bakar itu diturunkan untuk kepentingan seluruh rakyat negara ini, mengikut mekanisme yang ditetapkan selepas Kabinet berbincang mengenai penurunan harga minyak di pasaran dunia sebelum ini.

“Tiada kena mengena...Masa Kabinet berbincang pagi ini, Tan Sri Nor (Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua) maklumkan, harga minyak dunia yang turun sebelum ini mula mencatat kenaikan semula.

“Jika naik lagi lepas ini, tanpa kita buat apa-apa ketika harganya turun, akhir bulan nanti apabila buat purata, saya bimbang kita tidak dapat berikan pengurangan kepada rakyat. Tindakan itu pasti dipertikaikan nanti.

“Penurunan ini adalah untuk seluruh rakyat, bukan untuk Permatang Pauh. Kalau harga naik balik pun selepas ini, kita sudah tetapkan yang harga minyak tidak akan lebih RM2.70 seliter yang kita tetapkan sepanjang tahun ini,” katanya selepas merasmikan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengedaran (CPPC) Kenaf di Beris Lalang.

Abdullah berkata, walaupun harga minyak diturunkan mulai hari ini, kerajaan tetap akan menilai semula kadar itu pada 31 Ogos ini dan memberi jaminan harga akan dikurangkan lagi jika minyak dunia terus mencatatkan penurunan.

Katanya, pembayaran rebat tunai yang dibuat bagi meringankan beban pemilik kenderaan berikutan kenaikan harga minyak sebelum ini juga akan diteruskan sehingga Mac tahun depan, meskipun harga bahan bakar itu diturunkan.

“Saya yakin penurunan harga ini memberi faedah kepada rakyat. Pada peringkat ini, inflasi naik sehingga 8.5 peratus. Ini bermakna harga barang pun naik, jadi elok juga kita ambil tindakan (turunkan harga minyak) dan ia memang harapan banyak orang,” katanya.

Beliau berkata, penurunan harga minyak itu dibuat berdasarkan subsidi 30 sen yang terpaksa ditanggung dan bukannya seperti janji pembangkang yang semata-mata untuk meraih sokongan rakyat tanpa memikir akibat lain.

Katanya, berikutan penurunan harga minyak itu juga, kerajaan mahu peniaga tidak bersikap tamak dengan turut berusaha menurunkan harga barang atau caj perkhidmatan yang dikenakan supaya manfaatnya dapat dikongsi bersama.