Oleh Mohamed Farid Noh
BANGI: Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah semalam menyarankan universiti tempatan khususnya institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menilai semula peranan mereka dalam masyarakat supaya graduan dilahirkan mampu memacu negara menangani cabaran getir abad ke-21.
Baginda bertitah, peranan universiti tempatan yang dianggap sebagai institusi yang ditanggung serta diuruskan kerajaan bagi membekalkan modal insan di samping menyediakan landasan bagi penyelidikan dan pembangunan (R&D), perlu diubah bagi memastikannya terus relevan.
Titah baginda, identiti yang sudah lama terpahat pada IPTA perlu pengubahsuaian berikutan cabaran serta realiti zaman moden tidak lagi sama seperti abad lalu kerana cabaran hebat globalisasi termasuk ledakan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dunia.
“Tidak seperti dulu, universiti kini tidak lagi hanya untuk golongan elit dan tertentu saja kerana globalisasi bidang pendidikan menjadikan mereka yang layak menuntut ilmu di sana semakin bertambah.
“Ia menjadikan pertambahan ketara produk pendidikan atau modal insan yang boleh ditawarkan dalam pasaran kerja dan mencetuskan persaingan sengit. Oleh itu, universiti perlu merangka kurikulum serta kaedah baru pengajaran di samping pendekatan lebih dinamik bagi membangunkan perkembangan dan bakat pelajar,” titah baginda.
Raja Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Pengajian Tinggi Antarabangsa ke-20, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Kira-kira 113 ahli akademik dari seluruh dunia termasuk Amerika Syarikat, Perancis serta Afrika Selatan menghadiri persidangan tiga hari bermula semalam itu yang pertama kali dianjurkan Malaysia.