Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 August 2008

Panel dengar kes terperap 10 tahun



PUTRAJAYA: Panel Khas Mahkamah Rayuan yang ditubuhkan bagi mengendali dan menyelesaikan 10,000 kes jenayah dan sivil yang tertunggak bersidang buat pertama kali selama dua hari di Istana Keadilan, di sini, semalam dan kelmarin.

Panel berkenaan yang dianggotai Hakim Datuk Gopal Sri Ram, Datuk Md Raus Sharif dan Datuk Sulong Matjeraie bersidang untuk mendengar dan mengendalikan 191 kes.

Mahkamah Persekutuan dan Mahkamah Rayuan berpindah ke Istana Keadilan dari Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur pada Oktober 2003.


Panel itu ditubuhkan untuk mengendalikan kes yang tertangguh dari 1997 hingga tahun lalu berikutan tiada maklum balas daripada peguam, dalam penulisan atau melalui laman web mahkamah bagi menyediakan senarai kes rayuan setiap mereka sejak Februari lalu.

Maklumat peguam diperlukan Mahkamah Rayuan bagi menentukan rayuan yang perlu dijalankan dan yang tidak diteruskan.

Daripada 10,000 kes, 2,000 kes adalah fail kes yang tidak aktif dengan statusnya tidak diketahui oleh mahkamah kerana rekod rayuan tidak difailkan.

Panel itu mengendalikan kes berkenan semalam dan kelmarin dengan rayuan terhadap keputusan hakim Mahkamah Tinggi yang sudah meninggal atau bersara.

Sri Ram membuat kenyataan itu pada sesi mahkamah terbuka semalam dengan panel mendengar dan membereskan 67 kes. Mahkamah itu mengendalikan 124 rayuan kelmarin.

Dalam sesetengah kes, satu tarikh baru diberikan selepas pihak berkenaan memohon kepada mahkamah bahawa mereka mahu meneruskan rayuan sementara sesetengah kes pula, rayuan ditarikbalik dan kes tidak aktif dilupuskan.

Sri Ram berkata, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zaki Azmi, selepas berunding dengan rakan hakim, memutuskan untuk melantik satu panel tetap bagi mendengar dan melupuskan kes yang sudah 10 tahun tertangguh.

“Proses itu akan dijalankan dari semasa ke semasa sehingga kes tertangguh dibereskan. Panel itu akan menetapkan satu panel tetap melainkan ada rayuan terhadap keputusan sama ada hakim yang bersidang dalam panel itu,” katanya.

Sri Ram berkata, panel itu akan bersidang bulan depan untuk sesi akan datang dengan setiap sesi akan mengendalikan 100 kes termasuk kes yang keputusan sesuatu mahkamah ditulis oleh hakim tetapi tidak diambil peguam. - Bernama