KOTA KINABALU 16 April - Para pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) diminta peka dengan keperluan terhadap ilmu pengetahuan dan kemahiran baru agar mampu bergerak selari dengan perkembangan semasa.
Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah berkata, pendidikan merupakan proses sepanjang hayat dan tidak harus terhenti sebaik seseorang pelajar itu menamatkan pengajian di sesebuah IPT.
Beliau berkata, kecemerlangan yang akan dikecapi pula bukan lagi satu pilihan tetapi menjadi satu kemestian.
''Jadi saya berharap agar anda tidak menganggap proses belajar itu sudah tamat. Bagi insan yang berjaya dia akan menganggap bahawa menimba ilmu adalah proses sepanjang hayat," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-11 Politeknik Kota Kinabalu di Dewan Canselori Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini semalam.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, Datuk Maznah Abdul Ghani; Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan Politeknik, Mokhlis Jaafar; Naib Canselor UMS, Prof Dr. Mohd. Noh Dalimin dan Pengarah Politeknik Kota Kinabalu, Mustafar Kamar Ujang.
Pada konvokesyen kali ini, seramai 1,877 graduan sesi Januari dan Julai 2007 menerima sijil dan diploma masing-masing.
Menurut Ahmadshah, para pelajar harus mempelajari bidang-bidang baru yang lebih kompeten dan mempunyai nilai tambah sebagaimana yang dikehendaki dalam pasaran kerja masa kini.
Jelasnya, langkah ini menjadikan pelajar memiliki kemahiran dalam pelbagai bidang sekali gus menghindarkan daripada berlakunya pengangguran yang kritikal.
Katanya, selain daripada mempelbagaikan bidang kemahiran, para graduan digalak meneruskan pengajian sekiranya berpeluang dan berkemampuan.
"Bagi lepasan sijil, teruskanlah lagi pengajian anda ke peringkat diploma dan bagi yang memiliki diploma teruskanlah perjuangan anda ke peringkat ijazah pertama dan seterusnya," katanya.
Bagaimanapun, katanya, bagi graduan yang memilih untuk bekerja, mereka harus mengambil peluang ini untuk menimba pengalaman sebanyak mungkin yang dapat digunakan untuk meningkatkan kerjaya masing-masing pada masa akan datang.
Sementara itu, beliau mengharapkan agar politeknik dan industri akan terus bekerjasama bagi membangunkan dan memajukan Sabah dalam pelbagai sektor seperti perindustrian, pelancongan, pendidikan dan perkilangan.
"Saya mengharapkan politeknik boleh membantu mencapai hasrat kerajaan dengan memperhebatkan hubungan kerjasama di antara politeknik dengan pihak-pihak industri,'' ujarnya.
Katanya, hubungan dengan pihak industri harus dijalinkan dengan baik dan murni agar peluang untuk melahirkan tenaga mahir separa profesional dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan hospitaliti sejajar dengan misi politeknik akan tercapai dengan jayanya.
17 April 2008
Pelajar perlu peka perkembangan ilmu
Titipan Berharga Pelajar perlu peka perkembangan ilmu
Lirikan Khairul Team Subsale Melaka pada 8:03 PM