KUALA LUMPUR 13 April — Kegiatan lanun di Selat Melaka mencatatkan peratusan sifar sepanjang tahun lepas, kata Timbalan Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Bashir Abu Bakar.
Beliau berkata, kegiatan lanun di beberapa perairan negara dalam tempoh yang sama juga berada di paras terkawal.
“Kegiatan lanun yang direkodkan menunjukkan peratusan sifar di perairan Selat Melaka, begitu juga perairan Sabah dan Sarawak yang turut mencatatkan penurunan,” katanya ketika ditemui pemberita di Majlis Perarakan Kereta Antik sempena sambutan Jubli Emas di Pangkalan Udara TUDM di sini hari ini.
Beliau berkata, adanya kerjasama dengan angkatan tentera Indonesia dan Singapura yang dijalankan secara berterusan, telah dapat menangani ancaman lanun di kawasan itu.
“Rondaan maritim dan udara yang dibuat bersama-sama Indonesia dan Singapura menerusi program ’Eyes in the Sky’ yang diperkenalkan sejak dua tahun lepas, ternyata berkesan dalam mengurangkan kegiatan keganasan dan rompakan di Selat Melaka,” katanya.
Dalam majlis sempena Jubli Emas TUDM itu, 40 buah kereta antik pelbagai jenis dan 24 buah motosikal jenis Virgo telah berarak dari Pangkalan Udara Subang ke Pangkalan Udara Kuala Lumpur bagi mempromosikan ulang tahun ke-50 TUDM.