Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 April 2008

Keledek vitato diperluas

Oleh KAMARUDIN HAMZAH

Muhammad Pehimi Yusof (tengah) melihat keledek vitato selepas merasmikan majlis tuaiannya di Kampung Gong Machang, Besut, kelmarin.

BESUT 16 April - Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pelagat dekat sini bakal menjadi pengeluar utama keledek vitato di negeri ini apabila projek tanaman tersebut diperluaskan kepada 100 hektar tidak lama lagi.

Pengurus Besar PPK Pelagat, Hasmadi Hassan berkata, pada masa ini seluas 50 hektar tanaman itu sedang diusahakan secara berkelompok oleh 47 ahlinya yang hasilnya telah mula dituai.

Katanya, projek penanaman di Kampung Gong Machang, Tembila dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera itu merupakan projek perintis di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Menurutnya, PPK Pelagat merupakan antara dua PPK di negeri ini yang diberi peluang mengusahakan tanaman keledek vitato selain dua lagi PPK di Kelantan iaitu PPK Bachok dan PPK Kandis.

"Projek yang dimulakan sejak awal Januari lalu akan turut menjadikan Kampung Gong Machang, Tembila sebagai Lembah Vitato.

''Ia sekali gus membantu penduduk setempat menyertai aktiviti pertanian yang menguntungkan," jelasnya selepas majlis perasmian tuaian keledek vitato di kampung itu semalam.

Perasmian yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Muhammad Pehimi Yusof turut dihadiri oleh Pemangku Pengarah LPP negeri, Sulaiman Embong.

Hasmadi berkata, projek tersebut turut mendapat kerjasama Jabatan Pertanian, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Projek Pembangunan Pertanian Terengganu Utara (Ketara) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

"Setiap peserta dijangka memperolehi pendapatan kira-kira RM6,000 bagi setiap hektar bergantung kepada keluasan tanaman masing-masing dan mampu membantu golongan petani menambah pendapatan sekeluarga.

"Lebih ramai ahli serta petani di kawasan ini akan mendapat peluang untuk mengusahakan tanaman ini yang boleh memberikan pulangan lumayan jika diusahakan bersungguh-sungguh," ujarnya.