Tentunya ramai yang hairan mengapa banyak pihak termasuk pegawai kerajaan, ahli korporat dan orang ramai yang sanggup membayar sejumlah wang yang besar untuk mendapatkan nombor pendaftaran atau plat kereta dan motosikal yang diinginkan.
Adakah kerana hobi semata-mata, identiti sendiri, lambang prestij dan kemewahan pemilik atau kepercayaan nombor tertentu mampu untuk membawa tuah sehingga orang sanggup berhabis puluhan juta ringgit untuk melekatkan nombor plat tersebut di bumper kereta?
Apa pun jua alasannya, sejarah membuktikan ramai yang sanggup membayar harga yang tinggi untuk mendapatkan nombor plat kereta yang diminati terutama jutawan dari rantau Asia Barat, ahli korporat, ahli politik di negara-negara maju dan membangun.
Di peringkat tempatan, minat ke arah itu juga semakin berkembang dengan banyak pihak sanggup membayar dan menunggu tempoh yang lama semata-mata memiliki plat lain dari yang lain atau mempunyai imej tersendiri sama ada dari segi huruf dan nombornya.
Sebagai contoh, antara plat-plat kenderaan terganjil dan paling mahal milik rakyat negara ini ialah TAN diikuti dengan angka satu digit yang menjadi plat termahal setakat ini selain JJJ, CCC 3 dan CCC 8 milik kerajaan negeri Pahang, NAB1, PU3, MAF14 dan MAW1100.
Selalunya, plat-plat nombor pendaftaran kereta yang menarik dan lain dari yang lain ini akan dilekatkan di bumper depan dan belakang kereta-kereta berjenama mewah keluaran luar negara sejajar dengan harga plat itu sendiri yang mencecah puluhan ribu ringgit.
Di peringkat antarabangsa pula, jutawan muda Arab, Saeed Al Khouri, 25, muncul sebagai pemilik nombor plat kenderaan termahal di dunia setelah membeli nombor plat 1 dengan harga kira-kira RM45.8 juta pada satu lelongan awam di Abu Dhabi, Dubai.
Secara perbandingannya, bayaran untuk sekeping plat nombor 1 yang akan digunakan di bumper kereta kepunyaan Saeed itu mampu digunakan untuk membeli lebih 400 buah model Perdana V6 Enhanced 3 keluaran Proton Holdings Berhad.
Sebelum itu, sepupu Saeed, Talal Ali Mohammad Khouri membayar lebih RM22 juta untuk memiliki nombor plat 5 yang menyamai harga untuk 200 buah kenderaan pelbagai guna (MPV) Naza Ria keluaran Kumpulan Naza.
Selain dua nombor plat termahal jutawan Arab itu, laman web http://www.numberplates.com turut menyenaraikan beberapa plat kereta termahal lain antaranya M1 yang berharga £331,500 atau lebih RM2 juta, sebuah nilai yang memadai untuk membayar bonus sebahagian besar semua kakitangan awam di Malaysia.
Plat dengan nombor pendaftaran VIP1 pula mencecah harga £285,000, sama dengan hampir RM1.8 juta, menyamai bayaran gaji seorang pemandu bas ekspres di negara ini untuk tempoh 600 tahun atau 7,200 gaji bulanan pemandu bas itu.
Plat kereta dengan nombor pendaftaran K1 NGS pula dilelong pada harga £231,000 atau lebih RM1.4 juta yang tidak diketahui siapa pembelinya manakala plat GS1 pula pada harga £258,775 atau RM1.62 juta dalam majlis lelongan berprestij yang berlangsung di Scotland.
Dalam pada itu, laman web http://car.pege.org turut menyiarkan nombor plat kenderaan yang pelik, Gay4888 yang tidak mahu dimiliki oleh mana-mana lelaki dan www.weirdasianews.com pula melaporkan nombor plat 'Lucky' dijual pada harga $72,000.
Pembida 'Lucky' percaya plat berkenaan akan membawa tuah kepadanya manakala laman web http://www.caradvice.com pula melaporkan tindakan seorang jutawan yang sanggup membayar $AUS1 juta untuk memiliki NSW 6 di Sydney, Australia.
Bayangkan, jika mereka sanggup membayar harga yang begitu tinggi semata-mata untuk memiliki plat dengan nombor pendaftaran yang pelik dan istimewa itu, apalah angka yang sanggup dibelanjakan untuk membeli kenderaan yang diidam-idamkan.
Persoalan yang mungkin timbul di sini ialah berapa ramai orang yang sanggup membayar harga yang begitu tinggi untuk memiliki sekeping plat kereta untuk memenuhi keinginan peribadi, sedangkan kita masih berpeluang untuk menjadikan nilai duit itu lebih berbaloi.