Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

17 April 2008

Abai keselamatan lesen senjata api ditarik balik

Oleh OPAT RATTANACHOT

SUNGAI PETANI 16 April - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan merampas dan menarik balik lesen senjata api daripada pemegangnya yang gagal mematuhi aspek keselamatan ditetapkan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supritendan Ong Aik Chang berkata, aspek keselamatan wajib diambil perhatian serius oleh pemegang lesen senjata api bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

"Polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengabaikan aspek keselamatan semasa mengendalikan senjata api.

"Jika terbukti bahawa mereka cuai dan leka, maka kita akan mencadangkan supaya lesen senjata api ditarik balik," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas kejadian seorang anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) yang bertindak menembak anaknya sendiri kerana disangka pencuri di Jeniang, Gurun dekat sini 8 April lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, Mohamad Zulfaqar Mohd. Sobri, 19, cedera parah akibat ditembak bapanya, Mohd. Sobri Ahmad, 45, dengan senapang patang menggunakan peluru penabur kerana disangka pencuri masuk rumah di Kampung Batu 9.

Akibat kejadian itu, Mohamad Zulfaqar yang dimasukkan ke Hospital Sik sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Star untuk rawatan lanjut.

Aik Chang berkata, dalam kes berkenaan, polis telah merampas balik senjata api yang dimiliki Mohd. Sobri bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.

Katanya, siasatan awal juga mendapati keterangan yang diberikan anggota Rela tersebut mempunyai unsur keraguan.

"Kita merujuk kepada dua laporan polis yang bercanggah dibuat lelaki terbabit. Pada mulanya laporan dibuat mengatakan dia menyangka anjing masuk rumah dan dia terus lepaskan tembakan.

"Laporan kedua pula mengatakan dia tersalah sangka bahawa orang yang masuk rumahnya itu adalah pencuri,'' katanya.

Aik Chang berkata, alasan ahli keluarga mangsa yang diberitahu kepada media bahawa Mohd. Sobri terpaksa melepaskan tembakan kerana geram rumahnya beberapa kali dimasuk pencuri juga tidak begitu kukuh.

"Semakan indeks jenayah yang dibuat mendapati dalam tempoh Januari hingga 13 April lalu hanya ada sembilan kes kecurian berlaku di kawasan itu dan ia melibatkan curi motor.

"Sementara empat lagi kes adalah kecurian kecil dan satu kecurian dalam bangunan kedai. Kes pecah rumah tidak pernah dilaporkan berlaku di situ,'' jelasnya.

Dalam kes berasingan, Aik Chang berkata, polis berjaya menahan 12 wanita warga Thailand berusia antara 30 hingga 45 kerana dipercayai menyalahgunakan pas lawatan sosial mereka bekerja di premis rumah urut dalam tempoh Januari hingga semalam.

"Selain itu, kita juga berjaya menahan seramai 71 individu berusia antara 18 hingga 16 tahun kerana terlibat dalam beberapa kesalahan berjudi termasuk nombor ekor haram dalam tempoh tersebut,'' katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka telah dituduh di mahkamah mengikut pelbagai seksyen di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953.