Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 July 2008

RM140 juta naik taraf kereta api Bukit Bendera



BUTTERWORTH: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM140 juta bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam dan menaik taraf Sistem Kereta Api Bukit Bendera di Pulau Pinang.

Sebanyak RM100 juta akan digunakan untuk membeli 200 bas awam yang akan dikendalikan Rapid Penang Sdn Bhd (RapidPenang), manakala RM40 juta lagi untuk memperbaiki sistem kereta api di pusat peranginan yang berusia hampir 100 tahun itu.

Pengumuman itu dibuat Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sekali gus menolak tohmahan kerajaan negeri bahawa Kerajaan Pusat menghukum rakyat Pulau Pinang yang memilih Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.


Nor Mohamed berkata, walaupun projek menaik taraf Sistem Keretapi Bukit Bendera digugurkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kerajaan Pusat mengambil keputusan untuk meneruskannya.

"Kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri (Lim Guan Eng) merayu kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan tiga hari lalu, saya juga merayu kepada Perdana Menteri supaya memasukkan semula projek itu," katanya selepas majlis pelancaran Terminal Pengangkutan Sementara Penang Sentral di sini, semalam.

Ketika ini, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera digantung sementara bagi membawa pelancong kerana kerja pembaikan sedang dilakukan, tetapi masih boleh digunakan penduduk setempat berulang alik setiap hari.

Mengenai RapidPenang, Nor Mohamed berkata, pembelian 200 bas itu akan dilakukan secara berperingkat sehingga akhir tahun depan.

RapidPenang yang dilancarkan setahun lalu, kini mempunyai 150 bas yang menawarkan perkhidmatan di 33 laluan membabitkan 106 kawasan perumahan dengan bilangan penumpang kira-kira 48,000 sehari.

"Dengan pertambahan itu, RapidPenang akan mempunyai 350 bas menjelang akhir 2009 dengan tambahan 14 lagi laluan perkhidmatan. Bilangan penumpang juga dijangka meningkat kepada 120,000 sehari.

"Ketika ini, kira-kira 10 peratus penduduk negeri ini menggunakan pengangkutan awam dan ia dijangka meningkat kepada 30 peratus menjelang 2010," katanya yang yakin kemudahan itu dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

Selain itu, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), Datuk Ahmad Ibnihajar bagi membolehkan perkhidmatan feri beroperasi 24 jam sehari pada hujung minggu dan cuti umum bagi mengurangkan kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang.

Mengulas permintaan Kerajaan Pulau Pinang supaya Kerajaan Pusat menggantikan wang tunai sebanyak RM4.7 bilion berikutan penangguhan projek Jalan Lingkaran Luar Pinang (PORR) dan monorel, beliau hanya berkata, projek itu tidak termasuk dalam RMK-9 dan membabitkan peruntukan yang besar.