Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

11 July 2008

Harga susu segar naik selepas 25 tahun



KOTA KINABALU: Selepas lebih 25 tahun menanti berita gembira, penternak tenusu di Sabah kini menarik nafas lega apabila kerajaan negeri menaikkan harga susu segar baru-baru ini.

Harga bahan minuman itu dinaikkan kepada RM2.50 seliter berbanding RM1.50 seliter sejak 25 tahun lalu.


Setiausaha Persatuan Penternak Tenusu Sabah, Gerald Baxter, berkata kenaikan itu memberi nafas baru kepada lebih 100 penternak lembu yang masih beroperasi.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman kerana mengambil keputusan menaikkan harga susu segar.

"Kami percaya kenaikan itu memberi semangat kepada kami untuk meneruskan perniagaan kami," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Baru-baru ini Musa yang juga Menteri Kewangan negeri mengumumkan kenaikan harga susu berkenaan bagi memastikan penternak lembu tenusu tidak terus mengalami kerugian.

Ia berikutan permohonan penternak lembu tenusu supaya harga berkenaan dinaikkan berikutan kenaikan 100 peratus harga bahan makanan lembu tenusu.

Gerald berkata, kenaikan harga bahan api baru-baru ini turut menyebabkan kenaikan kos penternakan haiwan berkenaan, menyebabkan ramai penternak tidak mampu bertahan dalam industri itu.

"Industri tenusu berpotensi berkembang di negeri ini. Sokongan kerajaan negeri akan membantu meningkatkan industri ini ke tahap lebih tinggi," katanya.