Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 July 2008

PBT ada kuasa batal persembahan artis





KUANTAN: Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan hanya meluluskan permohonan artis luar mengadakan persembahan di negara ini dan tidak mempunyai kuasa jika pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri tidak mengeluarkan permit persembahan berkenaan.

Ketua Setiausaha kementerian, Dr Muzahet Masruri, berkata kementerian menerusi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) hanya memudahkan kemasukan artis bagi menjayakan persembahan mengikut garis panduan yang ditetapkan.


Beliau berkata, setiap artis luar negara perlu bersetuju mengikut panduan Puspal, termasuk tidak berpakaian mencolok mata dan menghormati budaya masyarakat tempatan.

Mengenai kes penyanyi dangdut Indonesia, Inul Daratista, Puspal sudah meluluskan permohonannya mengadakan persembahan dengan syarat mengurangkan aksi gelek keterlaluan, malah sebelum ini dia pernah dua kali mengadakan persembahan di negara ini.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan Dewan Bandaraya Johor Bahru tidak meluluskan permit untuk persembahan, justeru, keputusan muktamad PBT negeri terbabit dan kita tidak ada kuasa untuk menghalangnya," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kekecohan pembatalan saat akhir Konsert Inul Live In JB yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunus kelmarin dan dipindahkan lokasi ke Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Julai ini.

Malah penyanyi yang terkenal dengan gelek gerudi itu dilaporkan hampir pitam berikutan terkejut dengan pembatalan konsertnya di Johor Bahru.

Terdahulu, Dr Muzahet merasmikan Pejabat Pelesenan dan Penguat Kuasa Cawangan Timur kementerian yang juga pejabat pertama dirasmikan daripada enam cawangan seluruh negara, di sini, semalam.