Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 March 2008

Pertumbuhan ekonomi agenda utama



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kerajaan yang dipimpinnya selepas menang majoriti mudah dalam pilihan raya umum lalu akan memberi tumpuan terhadap pertumbuhan ekonomi yang memberi keuntungan kepada semua kaum.

Katanya, keputusan pilihan raya lalu menunjukkan ada perasaan tidak puas hati sebahagian masyarakat dan memberi jaminan akan mendengar keluhan mereka dan mencari penyelesaian praktikal.

"Kita mendengar (keluhan itu). Sejak menjadi Perdana Menteri, saya sudah berusaha merapatkan pelbagai komuniti dan negara. Saya juga menentang mereka yang menggunakan isu perkauman, agama dan etnik untuk memecah-belahkan rakyat Malaysia.


"Sebagai rakyat Malaysia, kita mesti berganding bahu untuk menjadikan Malaysia sebuah negara progresif dan bersatu-padu," katanya dalam surat kepada Wall Street Jurnal, kelmarin.

Abdullah berkata, antara langkah awal penggal keduanya sebagai Perdana Menteri ialah mengubati perpecahan yang berlaku dalam masyarakat ketika kempen pilihan raya lalu.

"Untuk itu, kita memerlukan inisiatif baru dan konkrit, bukan sekadar retorik, bagi menyatukan rakyat dan memastikan tiada sesiapa terpinggir, tidak kira etnik Melayu, Cina atau India, supaya secara bersama menikmati kemakmuran negara.

"Kita boleh mencapai matlamat itu kerana ekonomi kita kukuh dan stabil, dengan purata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) mencapai 7.3 peratus pada suku terakhir yang lalu, tahap guna tenaga hampir penuh, rizab tukaran asing melebihi AS$100 bilion (RM320 bilion), selain kemasukan banyak pelaburan asing langsung dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan yang mencecah rekod AS$13.7 bilion (RM43.84 bilion) tahun lalu," katanya.

Abdullah berkata, beliau juga berhasrat mengekalkan Malaysia sebagai negara mesra pelabur dan pasaran bebas supaya terus menjadi tarikan untuk pelabur asing.

Katanya, dalam tempoh 12 bulan lalu beberapa syarikat antarabangsa seperti General Electric, Amerika Syarikat; Virgin Group (Britain) dan pelabur dari Timur Tengah dan China melabur di Malaysia.

Perdana Menteri juga memberi jaminan untuk terus mempertahankan kestabilan dan keselamatan negara supaya rakyat dapat berkongsi kemakmuran dan peluang ekonomi dengan selamat.

"Kita juga akan meneruskan usaha memerangi rasuah dan jenayah," katanya.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke-12, Sabtu lalu, Abdullah berkata, beliau kecewa dengan pengurangan saiz majoriti kerana kerajaan tidak mendapat majoriti dua pertiga.

Bagaimanapun, katanya, bagi pihak yang selama ini mempersoalkan kesahihan proses pilihan raya di Malaysia, keputusan pilihan raya lalu adalah bukti proses demokrasi di negara ini bebas, adil dan berdaya saing.

"Walaupun saiz majoriti ini dianggap besar di kebanyakan negara, hakikat bahawa ia berkurangan secara signifikan dan kekalahan di lima daripada 13 negeri menunjukkan kita perlu bekerja keras untuk mereka yang tidak berpuas hati.

"Meskipun ada pihak yang meminta saya meletak jawatan, parti saya memberikan sokongan padu kepada saya untuk meneruskan agenda membangunkan negara kami, sesuatu yang amat saya hargai," katanya.