Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

18 March 2008

Barisan baru Kabinet penuhi aspirasi rakyat

Barisan baru Kabinet penuhi aspirasi rakyat


SEMINGGU sudah berlalu tetapi rakyat pelbagai lapisan masih 'berhujah dan berdebat' mengenai kejutan keputusan pilihan raya umum - baik kedai kopi, warung mamak, kantin pejabat mahupun di institusi pengajian tinggi.

Keputusan yang memberi prestasi terburuk kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam sejarah telah dihurai ramai pemerhati dan penganalisis politik, masing-masing dengan hujah dan pandangan tersendiri.

Persoalannya sekarang, rakyat tertunggu-tunggu barisan Kabinet baru yang dijadual diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi seawal-awalnya, hari ini.


Adakah komposisi Kabinet yang baru ini akan lebih menawarkan perkhidmatan cemerlang dan mampu bertugas dengan lebih baik berbanding barisan terdahulu agar kesilapan lama tidak berulang.

Bagaimana pula dengan nasib perwakilan daripada parti komponen BN yang mengalami kekalahan teruk dan kehilangan begitu banyak kerusi.

Ketua Program Sains Politik, Pusat Pengajian Sejarah Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusof, berkata parti komponen BN iaitu MCA, MIC dan Gerakan harus menerima kekalahan dan memuji tindakan sesetengah pemimpin mereka untuk berundur bagi memberi perhatian kepada parti.

Bagi beliau, jalan singkat dengan dilantik sebagai Senator bagi memudahkan perwakilan yang kalah mempunyai harapan cerah untuk tersenarai dalam barisan Kabinet bukanlah kaedah terbaik kerana rakyat sudah bersuara dengan jelas mengenai apa yang mereka mahukan.

Pada 2004, MCA menang 31 daripada 40 kerusi Parlimen yang ditandinginya dan mereka mempunyai kuota empat menteri, lapan timbalan menteri dan dua setiausaha Parlimen sebelum Parlimen dibubarkan 13 Februari lalu.

Namun, kali ini, MCA hanya menang 15 daripada 40 kerusi yang ditandingi. Selasa lalu, Presidennya, Datuk Seri Ong Ka Ting mengambil keputusan untuk menolak sebarang jawatan dalam Kabinet kerana mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada usaha membina semula parti.

Parti Gerakan yang hanya menang dua kerusi Parlimen daripada 12 yang ditandingi juga mengumumkan tidak mahu meminta sebarang jawatan menteri Kabinet. Sebelum ini, Gerakan mempunyai satu menteri, tiga timbalan menteri dan dua setiausaha Parlimen.

MIC yang juga tewas teruk termasuk Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu dan timbalan Datuk G Palanivel hanya mempunyai tiga wakil di Parlimen kali ini. Parti kaum India itu sebelum ini mempunyai satu jawatan menteri, tiga timbalan menteri dan tiga setiausaha Parlimen.

Dr Mohammad Agus berkata, Perdana Menteri perlu mengurangkan portfolio daripada wakil parti komponen BN yang kalah bagi memberi laluan kepada muka baru yang lebih berwawasan.

"Terlalu awal untuk kita katakan komposisi Kabinet yang akan dilantik nanti tidak mampu bekerja, tetapi yang kalah portfolio mereka perlu dikurangkan, bagi memilih barisan baru perlu memberi perhatian kepada dua perkara iaitu berdasarkan parti dan negeri yang banyak menyumbang kepada kemenangan BN," katanya.

Pada pilihan raya umum minggu lalu, BN Sabah dan Sarawak memberi sumbangan besar kepada kemenangan BN iaitu di Sarawak, Parti Pesaka Bumiputra Bersatu Sarawak (PBB) memenangi 14 kerusi, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) (enam), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (enam), Parti Progresif Demokrasi Sarawak (SPDP) (empat).

Di Sabah pula, Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) (empat), Parti Bersatu Sabah (PBS) menang tiga kerusi, Parti Maju Sabah (SAPP) (dua), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan Parti Liberal Demokratik masing-masing satu kerusi.

Mengikut komposisi pelantikan pada 2004, selain MIC, MCA dan Gerakan, Abdullah memberikan 21 jawatan menteri, 18 timbalan menteri dan 11 setiausaha Parlimen kepada Umno.

PBB mempunyai dua kuota menteri, satu timbalan menteri dan satu setiausaha Parlimen, SUPP mempunyai satu kuota menteri dan satu timbalan menteri manakala UPKO dan PBS masing-masing mempunyai satu kuota menteri. SPDP pula mempunyai satu jawatan timbalan menteri.

Dr Mohammad Agus berkata, jawatan menteri Kabinet wajar diberikan kepada parti berkenaan, tetapi kerusi mereka agak terhad di dalam Dewan Rakyat.

Beliau berkata, menteri Kabinet yang bakal dilantik perlu mempunyai ciri-ciri yang diingini rakyat seperti berketrampilan untuk memegang amanah, mempunyai rekod kerja yang baik dan yang penting tidak menafikan masalah rakyat.

"Jangan lantik mereka yang akan menafikan suara rakyat dan gagal untuk memahami hati rakyat. Bila mereka menafikan suara rakyat dengan menggunakan media ia seolah-olah memperbodohkan intelektual rakyat," katanya.

Beliau berkata, peluang perlu diberi kepada muka baru yang menang bagi membuktikan kebolehan mereka untuk menterjemahkan hasrat dan suara hati rakyat.

"Malang jika selama empat tahun negara ditadbir dengan pelbagai rancangan, tetapi rakyat tidak dapat melihat pelaksanaannya, ada (muka baru) yang harus dilihat keupayaan mereka untuk dinilai, kita perlu tindakan drastik kerana negara perlu dipacu," katanya.

Dalam satu wawancara kelmarin, Perdana Menteri menegaskan beliau tidak akan melantik semula menteri yang tewas, sebaliknya Kabinet baru akan dianggotai pemimpin berwibawa dan mampu melaksanakan apa yang dirancang kerajaan. - Bernama