Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

19 March 2008

Exco Perlis dibarisi muka baru

KANGAR: Semua tujuh Ahli Exco Kerajaan Perlis yang dilantik Menteri Besar, Datuk Dr Md Isa Sabu hari ini adalah terdiri daripada muka baru.

Mereka ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pauh, Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail, Sabri Ahmad (Santan), Ahmad Bakri Ali (Kayang), Abdul Jamil Saad (Sena), Mat Rawi Kassim (Beseri), Jafperi Othman (Guar Sanji) dan Yip Sun Onn (Titi Tinggi).

Mereka mengangkat sumpah memegang jawatan di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau dengan disaksikan Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Md Isa.


Semua Adun hadir di majlis itu, kecuali bekas Menteri Besar yang juga Adun Tambun Tulang, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Shahidan juga tidak menghadiri majlis mengangkat sumpah Md Isa sebagai Menteri Besar, Isnin lalu.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Md Isa berkata, beliau akan mempengerusikan portfolio Pentadbiran, Kewangan, Perancangan, Keselamatan dan Pembangunan Luar Bandar.

Syed Razlan mempengerusikan portfolio Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sabry (Pertanian dan Industri Asas Tani), Ahmad Bakri (Pelancongan dan Kesihatan), Abdul Jamil (Belia, Sukan, Kebudayaan, Kesenian, Sumber Manusia dan Perpaduan), Mat Rawi (Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar dan Penguatkuasaan), Jafperi (Agama Islam dan Pembangunan Hadhari) dan Yip (Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Bandar Baru).

Md Isa berkata, beliau mengundang Adun Simpang Empat, Rus’seli Eizan, satu-satunya Adun yang mewakili Pas untuk menyertai portfolio tertentu sebagai ahli jawatankuasa.

Sementara itu, Rus’seli berkata, beliau sedia untuk memberi pandangan kepada kerajaan melalui portfolio yang ditawarkan kepadanya kelak untuk kepentingan negeri dan rakyat. — Bernama