KECUALI Terengganu, negeri yang bermasalah dengan pelantikan Menteri Besar sama ada dikuasai Barisan Nasional (BN) atau pakatan pembangkang, sudah menyelesaikan kemelut itu. Semalam, Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin dan Perlis, Datuk Dr Md Isa Sabu masing-masing mengangkat sumpah jawatan. Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim; Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sudah mengangkat sumpah jawatan masing-masing sebelum ini. Bila Menteri Besar Terengganu dijangka mengangkat sumpah jawatannya belum diketahui tetapi kemungkinan besar Datuk Seri Idris Jusoh akan kekal menerajui negeri itu. Menteri Besar dan Ketua Menteri di negeri lain juga sudah mengangkat sumpah. Jemaah Menteri dalam Kabinet Persekutuan pula dijangka mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong esok selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan senarai itu hari ini. Sudah semestinya, tumpuan seluruh negara terarah kepada siapa akan dilantik dalam Kabinet baru Abdullah setelah berjaya membentuk kerajaan di peringkat Pusat dengan majoriti mudah. Kabinet itu akan bermesyuarat buat kali pertama, yang lebih berupa suai kenal, esok. Harapan rakyat memang tinggi dan barisan Kabinet yang bakal dibentuk Perdana Menteri juga perlu terdiri daripada golongan yang benar-benar boleh menjalankan tugas dengan baik dan berkesan di samping mempunyai integriti tinggi, rekod bersih daripada masalah dan isu.
Inilah peluang terbaik Abdullah dan BN mengembalikan keyakinan rakyat dengan menyenaraikan barisan Kabinet yang kita harap memberi nafas baru untuk terus memacu negara ke arah lebih membangun walaupun memerintah tanpa majoriti dua pertiga. Selepas ini, semua wakil rakyat yang dipilih sama ada sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri atau Ahli Parlimen hendaklah memulakan tugas dengan baik. Begitu juga barisan jemaah menteri, timbalan menteri dan Setiausaha Parlimen. Mereka perlu memikul tanggungjawab yang diamanahkan rakyat dan jangan sesekali mengabaikan tugas itu. Biarlah segala kenangan pahit dan manis sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 dijadikan iktibar. Tidak perlu lagi untuk menuding jari atau mencari ‘kambing hitam’. BN selepas ini akan mengkaji segala kelemahan yang ada dan memperbaikinya segera untuk memastikan segala kesilapan tidak berulang menjelang pilihan raya umum akan datang.
Rakyat, yang menjadi hakim setiap empat atau lima tahun sekali akan menilai prestasi setiap wakil rakyat sama ada wakil pembangkang atau kerajaan. Mereka hendaklah memberi khidmat yang terbaik dan mengelak daripada sebarang perbuatan yang menyalahi undang-undang seperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Rakyat kini sudah matang untuk menilai sendiri wakil rakyat mereka. Zaman retorik sudah berlalu dan rakyat lebih suka melihat wakil mereka sama ada di DUN atau Parlimen bertindak membela nasib mereka. Justeru, langkah pertama yang perlu diambil oleh wakil rakyat adalah untuk segera turun padang dan mendalami masalah rakyat di kawasan masing-masing serta menyalurkannya kepada pihak yang berkaitan bagi membolehkan tindakan segera diambil. Wakil rakyat yang sudah menang dalam pilihan raya jangan hanya menunjukkan muka sewaktu berkempen tempoh hari, dan selepas itu sudah tidak lagi turun mendekati rakyat dan bersama mereka. Sifat eksklusif yang ada pada golongan tertentu, perlu segera dihapuskan kerana seseorang wakil rakyat bukan saja mewakili kaumnya bahkan semua kaum dalam negara majmuk seperti Malaysia.
18 March 2008
Minda Pengarang: Kabinet baru permulaan pulih kuasa, prestasi BN
Titipan Berharga Minda Pengarang: Kabinet baru permulaan pulih kuasa, prestasi BN
Lirikan Khairul Team Subsale Melaka pada 8:08 AM