SEBELUM Pilihan Raya Umum Ke-12 diadakan, pelbagai tohmahan dan dakwaan dilemparkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk tidak telus dan mengikut telunjuk kerajaan Barisan Nasional (BN) ketika menjalankan tanggungjawabnya. Namun, apabila keputusan pilihan raya diperoleh, sekali gus menyaksikan BN gagal mendapatkan majoriti dua pertiga, terdengar suara memuji dan mengakui ketelusan SPR menjalankan tugasnya. Wartawan Rohaniza Idris menemubual Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar berhubung perkara itu.
BH: Bagaimana dengan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU 12) kali ini? Adakah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berpuas hati?
WAN AHMAD: SPR berpuas hati dengan perjalanan pilihan raya yang kita sifatkan berjalan lancar walaupun ada beberapa kejadian tidak diingini berlaku seperti bot karam di Sarawak dan helikopter tidak boleh beroperasi kerana masalah cuaca di Sabah. Itu semua di luar perkiraan kita dan tidak diduga serta bukan di bawah kuasa kita. Perkara lain sama seperti pilihan raya lalu yang mana berlaku kesesakan di pusat membuang undi pada waktu pagi di beberapa kawasan di seluruh negara.
Namun, saya menganggap (kesesakan) itu sebagai petanda rakyat sedar dan keluar mengundi. Keseluruhannya berjalan lancar, tiada kejadian besar kecuali sehari sebelum pilihan raya di Terengganu, penyokong sebuah parti menghalau pengundi yang pulang ke kampung masing-masing untuk membuang undi, yang mana mereka fikir sebagai pengundi hantu. Perkara itu sudah diselesaikan dan kita jelaskan bahawa pengundi itu adalah mereka yang mahu pulang mengundi.
BH: Bagaimana dengan keputusan PRU 12 yang diumumkan agak lewat berbanding pilihan raya sebelum ini. Malah, ada keputusan yang diumumkan keesokan harinya?
WAN AHMAD: Sebenarnya keputusan bukan lewat, tetapi kita hanya lewat buat perisytiharan. Pegawai pengurus lewat mengisytiharkan keputusan kerana kali ini kita bersikap lebih berhati-hati dan tidak mahu keputusan tidak tepat atau tidak betul diumumkan. Kita berhati-hati memastikan hanya keputusan disahkan diumumkan. Ini berdasarkan pengalaman Pilihan Raya Umum 2004, yang mana berlaku pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan keputusan yang salah sehingga ada bantahan dan petisyen di mahkamah. Kita tidak mahu perkara ini berlaku.
Dalam PRU 12, kita pastikan pejabat pilihan raya negeri menerima borang 16 sebelum menelitinya serta dijumlah dengan betul. Selepas itu, pejabat pilihan raya negeri memberikan kebenaran untuk mengumumkan keputusan kepada pegawai pengurus pilihan raya. Ini mengambil masa sedikit, kerana pejabat pilihan raya negeri kena buat penelitian dan semakan. Lebih menyukarkan jika membabitkan kawasan panas dan pertandingan sengit, kita kena berhati-hati.
Kali ini kita lihat banyak keputusan yang mengejutkan, jadi kita kena pastikan betul-betul dan tidak berlaku kesilapan. Ini semua membabitkan petugas kita, jadi ia agak lewat sedikit. Pada prinsipnya, SPR lebih berhati-hati sebelum mengumumkan keputusan, kita tidak mahu terburu-buru sehingga berlaku kesilapan yang akan membawa implikasi kurang baik kepada SPR di kemudian hari. Kita kalau boleh nak elakkan adanya petisyen dan bantahan pengundi yang tidak puas hati selepas pilihan raya.
BH: Setakat ini, berapa jumlah petisyen dan bantahan diterima?
WAN AHMAD: Sebarang petisyen tidak puas hati calon atau sesiapa saja boleh dibuat selepas keputusan pilihan raya diwartakan. Apabila keputusan diwartakan, dalam tempoh 21 hari selepas itu, sesiapa saja boleh membuat petisyen. Individu atau parti politik yang ingin mengemukakan petisyen di mahkamah perlu menunggu sehingga keputusan diwartakan.
Kini kita Ibu Pejabat SPR menerima semua data dan dalam proses menyemak serta mengemas kini sebelum dicetak dan diwartakan. Seksyen 34 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 membolehkan mana-mana pihak yang tidak berpuas hati keputusan pilihan raya memfailkan petisyen pilihan raya kepada Mahkamah Tinggi mengikut negeri bertanding. Seksyen 38(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 pula menyebut, petisyen pilihan raya hendaklah difailkan di mahkamah dalam tempoh 21 hari dari tarikh keputusan diwartakan.
SPR akan mengumumkan tarikh pewartaan bagi membolehkan semua pihak, termasuk parti politik menyemak semua data. Sebaik diwartakan, keputusan pilihan raya sudah menjadi dokumen awam dan sesiapa saja boleh mendapatkannya sama ada di Ibu Pejabat SPR atau di pejabat SPR negeri untuk semakan.
BH: Reaksi awal umum menyatakan pilihan raya umum kali ini lebih telus dan adil terutama apabila keputusan menyaksikan pakatan pembangkang, Parti Keadilan Rakyat (PKR)-Pas-DAP meraih kejayaan besar, termasuk merampas lima negeri?
WAN AHMAD: Pilihan raya sejak dulu telus dan adil. Sejak dulu kita memang telus malah perkara ini sudah dijelaskan dengan panjang lebar... sudah berkali-kali aspek ketelusan dan kebebasan mengundi ini kita jelaskan. Kita sudah lama meyakinkan rakyat yang pilihan raya ini telus, sejak dulu lagi. Ini kita boleh tengok dengan kemenangan parti pembangkang di beberapa negeri, malah kita kena ingat Pas sudah memerintah 18 tahun di Kelantan, begitu juga Terengganu yang pernah jatuh ke tangan Pas pada 1999. DAP pula setiap kali pilihan raya pasti ada wakil mereka menang di mana-mana kerusi sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ketelusan kita sejak dulu bukannya sekarang saja. Kita percaya sejak dulu mereka gunakan isu ketelusan SPR sebagai alasan kekalahan mereka... mereka juga cuba gunakan isu pengundi hantu dan kata kita tidak telus. Ini semua sudah dijelaskan dan kita sentiasa berani menghadapi tuduhan sebegitu. Keputusan pilihan raya kali ini membuka mata dan menguatkan lagi bahawa tuduhan wujud pengundi hantu dan SPR tidak telus adalah tidak benar. Mereka yang membuat tuduhan ini mulai sedar yang SPR bukan begitu (tidak telus).
BH: Adakah kemenangan parti yang menuduh SPR tidak telus selama ini menyebabkan mereka mengubah persepsi terhadap ketelusan dan keadilan SPR.
WAN AHMAD: Ketelusan kita tiada kaitan dengan kemenangan parti politik yang bertanding. Ini mungkin gelombang baru dan ada kaitan dengan 'trend' pengundi yang sudah bertukar selera. Mungkin pengundi mulai sedar hak mereka. Sebelum ini mereka yang keluar pengundi hanya berumur 35 tahun ke atas.
Kira-kira 1.4 juta pengundi yang berdaftar pertama kali mengundi dan dalam kelompok generasi muda. Mereka ini mungkin mempunyai selera berbeza, perkiraan dan pandangan mereka mengambil kira faktor sekeliling mereka.
Saya berpandangan banyak faktor lain mempengaruhi keputusan pilihan raya kali ini terutama kini adanya kempen menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS), penggunaan internet dan siber. Semua yang dikemukakan menerusi kempen ini ditafsirkan kumpulan generasi berbeza mengikut pandangan mereka, itu sebab keputusan kali ini amat mengejutkan. Ini hanya pendapat peribadi saya.
BH: Apakah cabaran yang dihadapi SPR untuk PRU 12?
WAN AHMAD: Cabaran paling besar adalah memastikan pilihan raya ini berjalan lancar dan berjaya. Kita berusaha memastikan persiapan pilihan raya berjalan dan diyakini rakyat. Kita juga serius kerana pilihan raya umum adalah acara yang penting dan besar kepada SPR. Satu lagi cabaran untuk meyakinkan rakyat keluar mengundi dan menerima pilihan raya sebagai proses untuk memilih pemimpin.
Syukur Alhamdulillah pada pilihan raya umum kali ini hanya kira-kira 2.5 juta daripada 10 juta pengundi berdaftar tidak keluar mengundi atau hanya 20 peratus. Pada 2004, kira-kira 73 peratus pengundi berdaftar keluar mengundi dan PRU12 menyaksikan 76 peratus membuang undi. Satu lagi cabaran adalah dakwaan mengenai pengundi hantu seperti didakwa sesetengah parti politik. Ia (pengundi hantu) hanya taktik politik mereka saja, dan mereka yang salah tafsir.
Kita sudah jelaskan kepada parti politik berkenaan bahawa pengundi boleh memilih untuk berdaftar di mana mereka bermastautin, namun ada juga yang berdaftar di kampung halaman masing-masing. Jika berdaftar di kampung halaman mereka tentunya akan balik kampung untuk membuang undi jadi mana ada pengundi hantu. Kita juga sentiasa ingatkan rakyat yang berdaftar sebagai pengundi boleh keluar mengundi, tunaikan tanggungjawab mereka.