Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

05 September 2008

Perkemas khidmat pengangkutan awam


sempena cuti ganti Hari Kemerdekaan, saya mengambil peluang membawa anak ke Kuala Lumpur dari Kota Kemuning menggunakan Komuter dan LRT. Kali terakhir saya menggunakannya adalah pada tahun 2005. Saya juga ingin melalui pengalaman yang dirasakan oleh Perdana Menteri kita.

Keadaannya jauh berbeza dengan apa yang saya lalui sebelum ini. Saya ingin mengutarakan beberapa komen yang saya rasa amat perlu demi menjaga mutu perkhidmatan pengangkutan awam kita.

Saya bertolak mengunakan komuter dari Subang Jaya. Jaringan pengangkutan kita masih lemah, maka terpaksalah menggunakan Subang Jaya sebagai kawasan yang terdekat. Terima kasih atas langkah kerajaan untuk memanjangkan jaringan tersebut. Dan, langkah Kerajaan Selangor memohon LRT hingga ke Shah Alam harus diambil perhatian. Shah Alam adalah ibu negeri Selangor, tetapi masih tiada LRT dan lemah dari segi jaringan pengangkutan.

Di Subang Jaya sahaja, saya dapati beberapa kekurangan. Saya bayangkan bagaimana orang kurang upaya hendak menggunakan komuter. Lif untuk orang kurang upaya masih lagi dalam pembinaan. Laluan khas (jalan kuning berbonjol) untuk orang buta pula menghala ke belakang tangga.

Komuter tidak sekali pun menepati waktu. Komuter menuju ke Sentral sepatutnya pukul 10.36 pagi tetapi terlewat melebihi sepuluh minit. Saya masih ingat lagi bagaimana pemandu kereta api di Jepun dibuang kerja kerana terlewat beberapa saat. Sektor pengangkutan awam sepatutnya mengambil langkah yang perlu memastikan ketepatan masa sebagai satu kemestian. Aturkan kempen atau program untuk melatih pemandu kita menepati masa. Pemandu yang pertama dapat menepati masa (ketepatan dalam saat), berikan mereka pingat, kerana dalam masa 51 tahun merdeka, belum ada mereka yang dapat melakukannya lagi.

Komuter pula terlalu kurang gerabak. Kita berbelanja berjuta ringgit untuk membina landasan tetapi tak mampu untuk membeli gerabak. Sepanjang perjalanan kita terpaksa berdiri. Komuter bukan saja untuk kemudahan namun keselesaan mesti diutamakan juga. Tetapi saya masih terharu dengan masyarakat kita yang masih prihatin. Saya dipelawa duduk oleh seseorang kerana saya sedang mendukung anak. Masih ada kesan dari kempen budi bahasa yang dijalankan.

Saya bertukar komuter ke LRT di Stesen Sentral. Apa yang saya nampak persamaan adalah kebanyakan peralatan baru yang di- perkenalkan dulu, banyak yang telah rosak. Dari mesin membeli tiket hingga ke tempat mengutip tiket automatik. Khidmat manual masih diperlukan. Kemungkinan penyenggaraan tidak dijalankan mengikut jadual.

Kerosakan kemudahan baru mestilah dibaiki dengan segera. Keutamaan mesti juga diberikan kepada penyenggaraan. Latihan yang secukupnya perlu diberikan kepada kakitangan penyenggara. Penggunaan teknologi yang baru mestilah dibawa bersama-sama dengan cara menjaganya.

Kebersihan komuter, LRT dan stesen juga perlu dijaga. Badan komuter terlalu kotor seolah-olah tidak pernah dicuci langsung. Lantai stesen terutamanya ditempat menunggu tidak sekilat dulu.

Komuter adalah juga kemudahan pengangkutan utama yang digunakan oleh pe- lancong-pelancong. Pastikan mereka membawa balik cerita yang baik tentang kebersihan pengangkutan kita, walaupun tidak yang lain.

Amir Husain

Shah Alam