Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 August 2008

Syor tiada caj khidmat SMS program sosial


Oleh Azman Mahmood

KUALA LUMPUR: Semua syarikat telekomunikasi disaran mengecualikan caj perkhidmatan bagi sumbangan atau derma disalur menggunakan SMS bagi program tanggungjawab sosial korporat mengikut prinsip syariah daripada syarikat atau individu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sudah tiba masanya syarikat telekomunikasi memberi kerjasama dengan menyediakan perkhidmatan SMS untuk tujuan itu tanpa sebarang caj.

Katanya, jika tiada caj SMS dikenakan, ia akan menarik lebih ramai orang menderma dan pada masa sama boleh mendapatkan pengurangan cukai pendapatan atau cukai korporat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


“Saya sudah berbincang dengan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor mengenainya dan ia sedang dikaji.

“Saya pernah meminta pengecualian caj SMS apabila melancarkan program Wakar al-Quran dengan membuat rayuan kepada Suruhanjaya Komunikasi. Syukur, syarikat telekomunikasi terbabit memulangkan caj (SMS) yang sepatutnya diterima yayasan yang mengendalikan wakaf itu,” katanya selepas majlis pelancaran program televisyen Tijarah Ramadan musim keempat yang akan disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai Ramadan ini, semalam.

Program diterbitkan Johor Corporation dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Johor Corporation, Kamaruzzaman Abu Kassim.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata, syarikat telekomunikasi wajar memberi pengecualian itu kerana memperoleh keuntungan besar menerusi pelbagai perkhid-matan SMS terutama menerusi program realiti televisyen.

“Tahun lalu saja, RM2.2 bilion (diperoleh syarikat telekomunikasi) hasil daripada SMS. Saya berharap lebih banyak syarikat korporat dan konglomerat menyalurkan keuntungan perniagaan untuk program tanggungjawab sosial bagi membantu golongan miskin,” katanya.

Mengenai program televisyen Tijarah Ramadan, beliau berkata, ia medium dakwah berpengaruh bagi membantu golongan miskin menerusi sumbangan disalurkan kepada Tabung Tijarah Ramadan.

“Sumbangan dan usaha membantu golongan yang memerlukan seperti menerusi program Tijarah Ramadan ini diharap tidak berhenti separuh jalan atau selepas program ini selesai disiarkan,” katanya.