Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

23 August 2008

Syor tiada caj khidmat SMS program sosial


Oleh Azman Mahmood

KUALA LUMPUR: Semua syarikat telekomunikasi disaran mengecualikan caj perkhidmatan bagi sumbangan atau derma disalur menggunakan SMS bagi program tanggungjawab sosial korporat mengikut prinsip syariah daripada syarikat atau individu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sudah tiba masanya syarikat telekomunikasi memberi kerjasama dengan menyediakan perkhidmatan SMS untuk tujuan itu tanpa sebarang caj.

Katanya, jika tiada caj SMS dikenakan, ia akan menarik lebih ramai orang menderma dan pada masa sama boleh mendapatkan pengurangan cukai pendapatan atau cukai korporat daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).


“Saya sudah berbincang dengan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor mengenainya dan ia sedang dikaji.

“Saya pernah meminta pengecualian caj SMS apabila melancarkan program Wakar al-Quran dengan membuat rayuan kepada Suruhanjaya Komunikasi. Syukur, syarikat telekomunikasi terbabit memulangkan caj (SMS) yang sepatutnya diterima yayasan yang mengendalikan wakaf itu,” katanya selepas majlis pelancaran program televisyen Tijarah Ramadan musim keempat yang akan disiarkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) mulai Ramadan ini, semalam.

Program diterbitkan Johor Corporation dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM). Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Johor Corporation, Kamaruzzaman Abu Kassim.

Terdahulu Ahmad Zahid berkata, syarikat telekomunikasi wajar memberi pengecualian itu kerana memperoleh keuntungan besar menerusi pelbagai perkhid-matan SMS terutama menerusi program realiti televisyen.

“Tahun lalu saja, RM2.2 bilion (diperoleh syarikat telekomunikasi) hasil daripada SMS. Saya berharap lebih banyak syarikat korporat dan konglomerat menyalurkan keuntungan perniagaan untuk program tanggungjawab sosial bagi membantu golongan miskin,” katanya.

Mengenai program televisyen Tijarah Ramadan, beliau berkata, ia medium dakwah berpengaruh bagi membantu golongan miskin menerusi sumbangan disalurkan kepada Tabung Tijarah Ramadan.

“Sumbangan dan usaha membantu golongan yang memerlukan seperti menerusi program Tijarah Ramadan ini diharap tidak berhenti separuh jalan atau selepas program ini selesai disiarkan,” katanya.

Guna kad kredit beli minyak diterus


Oleh Amin Ridzuan Ishak

KUALA LUMPUR: Penggunaan kad kredit di stesen minyak bagi membeli petrol dan diesel tidak akan dihentikan pada musim perayaan bulan depan walaupun rayuan pengurangan caj satu peratus terhadap penggunaannya belum diputuskan kerajaan.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Mejar (B) Abdul Wahid Bidin, berkata pihaknya belum bercadang berbuat demikian kerana yakin ada perkembangan positif berhubung tuntutan mereka menjelang musim perayaan.

“Kami tetap menerima kad kredit walaupun menyedari pendapatan pengusaha bakal terjejas berikutan penggunaannya dijangka meningkat mendadak sehingga 90 peratus di mana orang ramai lebih cenderung menggunakannya kerana boleh dibayar kemudian.


“Penggunaan kad kredit yang tinggi menyebabkan kami terpaksa membayar komisen satu peratus kepada bank. Jika pelanggan membayar RM100, pengusaha mendapat RM99 dan RM1 dibayar kepada bank.

“Sudah tentu jumlah diesel dan petrol dijual pada musim perayaan bakal mencapai puluhan ribu liter dan komisen dibayar pun agak tinggi. Bagaimanapun, kami memberi jaminan kad kredit boleh digunakan pada musim perayaan,” katanya semalam.

Beliau ditanya menegnai penggunaan kad kredit pada perayaan Aidilfitri sama ada akan dihentikan berikutan ketiadaan perkembangan terbaru mengenai tuntutan pengusaha berhubung pengurangan caj satu peratus.

Jun lalu, PDAM bertindak menghentikan sementara urus niaga menggunakan kad kredit sehingga kerajaan memenuhi tuntutan mereka supaya menaikkan komisen jualan minyak dan hasilnya kerajaan bersetuju menaikkannya kepada 12.19 sen seliter (petrol) dan 7 sen seliter (diesel).

Sebelum ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Samad mencadangkan kepada Bank Negara Malaysia (BNM) supaya caj pembelian petrol dan diesel menggunakan kad kredit dikurangkan.

Mengulas lanjut, Wahid berkata, walaupun ada petanda positif hasil perjumpaannya dengan pihak kementerian sebelum ini, pihaknya berharap pengurangan itu dilakukan secepat mungkin.