Program SMS Prepaid Terunggul Dari MYeCASH

20 July 2008

29 pelan rapat jurang ekonomi



KUALA LUMPUR: Konvensyen Ekonomi Bumiputera (KEB) 2008 menggariskan 29 pelan tindakan bagi merapatkan jurang sosio ekonomi Bumiputera dengan bukan Bumiputera.

Pelan tindakan itu bagi merapatkan jurang pemilikan saham, bilangan pengurusan dan profesional, taraf pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah dan pemilikan lain-lain aset yang masih terkebelakang.

Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik, ketika melancarkan resolusi itu semalam, berkata pelan tindakan yang digariskan dalam resolusi itu akan dibukukan oleh Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai rujukan semua pihak termasuk kerajaan dalam membantu membangunkan ekonomi Bumiputera.


Pelan tindakan yang digariskan dalam resolusi empat muka surat yang dijana daripada enam sesi forum anjuran Gabem dan Pemuda Umno itu, antara lain menggariskan gesaan terhadap sektor swasta Bumiputera untuk lebih cergas dalam meningkatkan penguasaan ekonomi termasuk mengurangkan gejala ketirisan.

Resolusi yang dikeluarkan pada akhir sidang pleno hari kedua konvensyen bertemakan ‘Melonjakkan Ekonomi Bumiputera’ berakhir semalam, juga menyeru pelaburan syarikat Bumiputera dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditingkatkan termasuk di koridor negara.

Selain itu, menggesa kerajaan meneruskan perbelanjaan dan bukannya mengurangkan perbelanjaan bagi memastikan ekonomi dapat terus bergerak dan berkembang.

Ia juga mencadangkan ditingkatkan keusahawanan Bumiputera menerusi program latihan kemahiran dan pakej bantuan supaya setiap yang dibantu berjaya dan meningkatkan jalinan dalam perniagaan serta penguasaan rantaian nilai setiap sektor ekonomi.

Koordinasi antara kementerian dan agensi juga digesa ditingkatkan dalam membantu masyarakat ekonomi Bumiputera selain lebih cepat memberi perkhidmatan.

Konvensyen yang dihadiri kira-kira 1,000 peserta dari kalangan usahawan dan pemikir ekonomi Bumiputera negara itu, turut meminta kerajaan bertukar dari negara berteraskan politik kepada berteraskan perniagaan, selain memperkasakan modal insan dengan mengambil kira isu globalisasi, meningkatkan daya saing dan kebolehan berfikiran global.

Resolusi KEB 2008 turut menggesa rancangan kelompok ekonomi di bawah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) generasi baru digerakkan dengan kerjasama kerajaan dan masyarakat ekonomi Bumiputera, selain mencadangkan diwujudkan Majlis Perdagangan Bumiputera dan mempercepatkan pembangunan rantaian Persyarikatan Bumiputera, serta mewujudkan rangkaian bekalan Bumiputera dengan GLC mempeloporinya.

Ia turut mencadangkan syarikat Melayu yang berjaya di pasaran terbuka dijadikan contoh kepada masyarakat ekonomi Bumiputera, manakala kerajaan dan bank perlu memiliki minda serta pendekatan baru untuk menolong Bumiputera.

RM140 juta naik taraf kereta api Bukit Bendera



BUTTERWORTH: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM140 juta bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam dan menaik taraf Sistem Kereta Api Bukit Bendera di Pulau Pinang.

Sebanyak RM100 juta akan digunakan untuk membeli 200 bas awam yang akan dikendalikan Rapid Penang Sdn Bhd (RapidPenang), manakala RM40 juta lagi untuk memperbaiki sistem kereta api di pusat peranginan yang berusia hampir 100 tahun itu.

Pengumuman itu dibuat Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sekali gus menolak tohmahan kerajaan negeri bahawa Kerajaan Pusat menghukum rakyat Pulau Pinang yang memilih Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum lalu.


Nor Mohamed berkata, walaupun projek menaik taraf Sistem Keretapi Bukit Bendera digugurkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), Kerajaan Pusat mengambil keputusan untuk meneruskannya.

"Kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri (Lim Guan Eng) merayu kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan tiga hari lalu, saya juga merayu kepada Perdana Menteri supaya memasukkan semula projek itu," katanya selepas majlis pelancaran Terminal Pengangkutan Sementara Penang Sentral di sini, semalam.

Ketika ini, perkhidmatan kereta api Bukit Bendera digantung sementara bagi membawa pelancong kerana kerja pembaikan sedang dilakukan, tetapi masih boleh digunakan penduduk setempat berulang alik setiap hari.

Mengenai RapidPenang, Nor Mohamed berkata, pembelian 200 bas itu akan dilakukan secara berperingkat sehingga akhir tahun depan.

RapidPenang yang dilancarkan setahun lalu, kini mempunyai 150 bas yang menawarkan perkhidmatan di 33 laluan membabitkan 106 kawasan perumahan dengan bilangan penumpang kira-kira 48,000 sehari.

"Dengan pertambahan itu, RapidPenang akan mempunyai 350 bas menjelang akhir 2009 dengan tambahan 14 lagi laluan perkhidmatan. Bilangan penumpang juga dijangka meningkat kepada 120,000 sehari.

"Ketika ini, kira-kira 10 peratus penduduk negeri ini menggunakan pengangkutan awam dan ia dijangka meningkat kepada 30 peratus menjelang 2010," katanya yang yakin kemudahan itu dapat mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang.

Selain itu, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Penang Port Sdn Bhd (PPSB), Datuk Ahmad Ibnihajar bagi membolehkan perkhidmatan feri beroperasi 24 jam sehari pada hujung minggu dan cuti umum bagi mengurangkan kesesakan di atas Jambatan Pulau Pinang.

Mengulas permintaan Kerajaan Pulau Pinang supaya Kerajaan Pusat menggantikan wang tunai sebanyak RM4.7 bilion berikutan penangguhan projek Jalan Lingkaran Luar Pinang (PORR) dan monorel, beliau hanya berkata, projek itu tidak termasuk dalam RMK-9 dan membabitkan peruntukan yang besar.

70 kena penjara di luar negara


Oleh Ridzuan Yop

KUALA KANGSAR: Lebih 70 rakyat negara ini, termasuk wanita dipercayai meringkuk dalam penjara negara asing di seluruh dunia akibat terperangkap dengan sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Daripada jumlah itu, 40 orang, disahkan dipenjarakan di negara asing, termasuk di Eropah, Amerika Selatan, China serta Australia sehingga membimbangkan kerajaan dan keluarga mereka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz (gambar), berkata kerajaan yakin bilangan rakyat Malaysia yang dipenjarakan di luar negara lebih tinggi daripada rekod kerana tidak mendapat maklumat tepat mengenainya berikutan tiada laporan dibuat.


"Ini adalah satu fenomena yang amat mengejutkan. Mereka ini, khususnya wanita tempatan terpedaya dengan janji manis sindiket yang menawarkan pekerjaan dan gaji lumayan serta tiket kapal terbang ke luar negara,” katanya.

Reka bentuk kediaman dorong kes pecah rumah


Oleh Abd Rahman Adam

KUCHING: Sikap masyarakat yang terlalu mementingkan nilai estetika serta reka bentuk rumah, tanpa mengambil kira ciri keselamatan, dikenal pasti punca meningkatnya kejadian pecah rumah di negara ini.

Penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim, berkata aspek keselamatan perlu diutamakan apabila merancang membina kediaman, termasuk mengenal pasti latar belakang kawasan supaya dapat memastikan ciri keselamatan yang perlu dilakukan.

“Ini bagi mengelak menjadi mangsa kejadian pecah rumah dan samun sekali gus membendung kejadian sama berulang di kawasan kediaman masing-masing,” katanya ditemui selepas Seminar ‘Rumahku - Kediaman Selamat’ di sini semalam.


Seminar anjuran Malaysia Building Society Berhad (MBSB) dengan kerjasama Yayasan Pencegahan Jenayah Negeri Sarawak serta Kelab Sumber Kementerian Perancangan dan Pengurusan Sumber itu bertujuan memberi panduan dan siri pertolongan cemas kepada peserta khususnya menyelamatkan warga tua, orang kurang upaya (OKU) serta kanak-kanak ketika berlakunya kebakaran.

Kamal berkata, kejadian pecah rumah di Sarawak masih pada tahap terkawal namun keadaan itu tidak boleh dijadikan alasan mengabaikan keselamatan tempat kediaman.

“Setakat ini, statistik menunjukkan jumlah kejadian dan jenayah di Sarawak masih kecil jika dibandingkan dengan kadar jenayah yang berlaku di Semenanjung,” katanya.

PBT ada kuasa batal persembahan artis





KUANTAN: Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan hanya meluluskan permohonan artis luar mengadakan persembahan di negara ini dan tidak mempunyai kuasa jika pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri tidak mengeluarkan permit persembahan berkenaan.

Ketua Setiausaha kementerian, Dr Muzahet Masruri, berkata kementerian menerusi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) hanya memudahkan kemasukan artis bagi menjayakan persembahan mengikut garis panduan yang ditetapkan.


Beliau berkata, setiap artis luar negara perlu bersetuju mengikut panduan Puspal, termasuk tidak berpakaian mencolok mata dan menghormati budaya masyarakat tempatan.

Mengenai kes penyanyi dangdut Indonesia, Inul Daratista, Puspal sudah meluluskan permohonannya mengadakan persembahan dengan syarat mengurangkan aksi gelek keterlaluan, malah sebelum ini dia pernah dua kali mengadakan persembahan di negara ini.

"Bagaimanapun, kami dimaklumkan Dewan Bandaraya Johor Bahru tidak meluluskan permit untuk persembahan, justeru, keputusan muktamad PBT negeri terbabit dan kita tidak ada kuasa untuk menghalangnya," katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kekecohan pembatalan saat akhir Konsert Inul Live In JB yang dijadualkan berlangsung di Stadium Tan Sri Hassan Yunus kelmarin dan dipindahkan lokasi ke Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 27 Julai ini.

Malah penyanyi yang terkenal dengan gelek gerudi itu dilaporkan hampir pitam berikutan terkejut dengan pembatalan konsertnya di Johor Bahru.

Terdahulu, Dr Muzahet merasmikan Pejabat Pelesenan dan Penguat Kuasa Cawangan Timur kementerian yang juga pejabat pertama dirasmikan daripada enam cawangan seluruh negara, di sini, semalam.

Najib komited peralihan kuasa 2010



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau komited terhadap pelan peralihan kuasa yang sudah dipersetujuinya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang akan menyerahkan teraju pemerintahan kepada beliau pada pertengahan 2010.

Berikutan itu, Timbalan Presiden Umno itu berkata, Umno Bahagian Pekan yang diketuainya akan mencadangkan Abdullah sebagai Presiden parti dan beliau sebagai Timbalan Presiden pada pemilihan parti Disember depan.

Najib berkata demikian apabila ditanya mengenai satu daripada cawangan Umno dalam Bahagian Pekan yang mencalonkan nama beliau untuk jawatan Presiden.


“Itu satu cawangan saja... ada 134 cawangan lagi... jadi Bahagian Pekan, saya sebagai Ketua Bahagian, saya komited kepada pelan peralihan yang saya dah terima,” katanya ketika diminta mengulas tindakan Umno Cawangan Kampung Ubai Bahagian Pekan kelmarin meluluskan usul tergempar mencadangkan Najib bertanding jawatan Presiden pada pemilihan Disember depan.

11 July 2008

Harga susu segar naik selepas 25 tahun



KOTA KINABALU: Selepas lebih 25 tahun menanti berita gembira, penternak tenusu di Sabah kini menarik nafas lega apabila kerajaan negeri menaikkan harga susu segar baru-baru ini.

Harga bahan minuman itu dinaikkan kepada RM2.50 seliter berbanding RM1.50 seliter sejak 25 tahun lalu.


Setiausaha Persatuan Penternak Tenusu Sabah, Gerald Baxter, berkata kenaikan itu memberi nafas baru kepada lebih 100 penternak lembu yang masih beroperasi.

"Kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri, terutama Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman kerana mengambil keputusan menaikkan harga susu segar.

"Kami percaya kenaikan itu memberi semangat kepada kami untuk meneruskan perniagaan kami," katanya kepada Berita Harian, di sini semalam.

Baru-baru ini Musa yang juga Menteri Kewangan negeri mengumumkan kenaikan harga susu berkenaan bagi memastikan penternak lembu tenusu tidak terus mengalami kerugian.

Ia berikutan permohonan penternak lembu tenusu supaya harga berkenaan dinaikkan berikutan kenaikan 100 peratus harga bahan makanan lembu tenusu.

Gerald berkata, kenaikan harga bahan api baru-baru ini turut menyebabkan kenaikan kos penternakan haiwan berkenaan, menyebabkan ramai penternak tidak mampu bertahan dalam industri itu.

"Industri tenusu berpotensi berkembang di negeri ini. Sokongan kerajaan negeri akan membantu meningkatkan industri ini ke tahap lebih tinggi," katanya.

Durian dieksport ke China


Oleh Mohd Roji Abdullah



Permintaan tinggi dapat atasi lambakan buah selepas harga merudum

BATU PAHAT: Isu lambakan durian kerana pengeluaran yang agak banyak sehingga menyebabkan harganya merudum di pasaran tempatan akan diatasi dengan mengeksport `raja buah' itu ke negara China tidak lama lagi.


Permintaan yang tinggi dari negara berkenaan bukan saja akan memberi faedah kepada pemilik dusun malah akan membantu menstabilkan harga durian di pasaran tempatan yang sebelum ini dianggap kurang menguntungkan pemilik dusun.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Aziz Kaprawi, berkata persetujuan sudah dicapai antara Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dengan pihak berkuasa pertanian negara China 13 Mei lalu yang membenarkan durian dieksport ke negara itu.

Katanya, persetujuan yang dicapai dua negara itu membolehkan lebih banyak kawasan dusun baru dijangka dibuka di seluruh negeri kerana pengusaha semakin yakin, tidak akan berlaku isu lambakan durian pada masa depan.

"Memang diakui, sebelum ini ramai pemilik dusun kecewa dan ada yang bertindak menebang durian mereka kerana tidak sanggup menanggung kerugian akibat berlakunya lambakan durian di pasaran tempatan sehingga menyebabkan harganya jatuh teruk.

"Perkembangan terbaru berikutan keputusan yang membolehkan buah durian dieksport ke China pastinya melegakan pemilik dusun kerana yang pasti hasil tanaman mereka itu berpeluang menembusi pasaran yang lebih luas dan di pasaran tempatan pula, jumlah durian dapat dihadkan yang akhirnya membuatkan harga stabil.

"Sekarang kita tengok, pada awal musim harga durian terlalu mahal sehingga ramai yang tidak mampu membelinya, tetapi apabila berlaku lambakan di pertengahan atau penghujung musim, harganya jatuh teruk dan ini akan merugikan penanam pula," katanya.

Beliau berkata, mengikut persetujuan yang dicapai, buah durian dibenarkan dieksport dalam bentuk sejuk beku sama ada durian biji, ulas durian yang dimasukkan ke dalam bekas lain atau durian yang sudah diproses dalam bentuk cip.

Katanya, durian sudah mula dieksport ke China awal Jun lalu, tetapi beliau belum menerima laporan jumlah sebenar yang sudah memasuki pasaran negara itu.

"Kita tidak menghadapi masalah untuk menyediakan produk durian yang menepati syarat eksport itu kerana kita mempunyai sebuah pusat penyejuk beku durian di Tangkak yang boleh menyimpan jumlah buah yang banyak pada satu-satu masa," katanya.

Syor pelatih PLKN sertai Rakan Cop


Oleh Wan Faizal Ismayatim

KUALA KRAI: Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akan mengemukakan cadangan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, untuk mendaftarkan lebih 365,000 bekas pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai ahli Rakan Cop bagi membantu menjalankan tugas pencegahan jenayah.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata bekas pelatih program perlu digerakkan dengan tugasan pencegahan jenayah memandangkan mereka mempunyai asas latihan serta disiplin tinggi yang dibentuk sepanjang menjalani latihan.

"Kita mahu bekas pelatih yang sudah diterapkan dengan nilai murni serta asas disiplin yang kukuh membantu polis menjaga keamanan yang dapat memberi faedah kepada masyarakat kerana mereka datang dari pelbagai latar belakang, berbilang bangsa serta menetap di seluruh pelusuk negara.


"Setiap tahun, lebih 100,000 pelatih PLKN menamatkan latihan dan saya fikir mereka boleh digerakkan untuk membantu menjaga keamanan negara dan adalah merugikan jika mereka tidak memainkan peranan mencegah jenayah di tempat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penutup Kursus `Training of Trainers' Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang disertai 76 bakal jurulatih fizikal PLKN dari kalangan anggota polis di Kem PLKN Batu Jong, di sini, semalam.

Sejak 2004, setiap kem latihan PLKN di seluruh negara ditempatkan dengan seorang anggota polis yang bertanggungjawab sebagai jurulatih fizikal, selain anggota terbabit berperanan menjadi penghubung antara kem latihan dengan balai polis berdekatan.

Abdul Hadi berkata, ketika ini, pelatih diwajibkan mengikuti modul pencegahan jenayah dan pengendalian senjata yang dijalankan dengan kerjasama polis menerusi penggunaan lapang sasar PDRM selain milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Diharapkan, pembabitan anggota polis sebagai jurulatih dapat melatih pelatih menjadi seorang yang lebih berdisiplin dan mematuhi undang-undang. Malah, usaha mendaftarkan pelatih sebagai ahli Rakan Cop juga mampu memperkasakan usaha pencegahan jenayah," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi berkata, sejumlah RM2.37 bilion sudah dibelanjakan kerajaan bagi menjayakan PLKN sejak 2004 hingga 2007, yang memberi banyak manfaat serta membentuk jati diri mulia di kalangan pelatihnya.

Beliau berkata, walaupun penganjuran PLKN membabitkan peruntukan besar, kesan positif program itu jelas menunjukkan wang rakyat dibelanjakan untuk tujuan yang baik demi masa depan golongan muda.

"Kita nak memberitahu rakyat bahawa wang RM2.37 bilion itu digunakan dengan sebaik mungkin, demi melahirkan golongan remaja yang bertanggungjawab, mempunyai jati diri serta mempunyai sahsiah dan berakhlak mulia.

"Walaupun jumlah yang dibelanjakan itu besar, sebenarnya nilai positif yang diterapkan kepada remaja lebih bernilai berbanding RM2.37 bilion yang dihabiskan kerajaan," katanya.

Najib pengganti baik: Abdullah



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menjelaskan beliau memilih Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya kerana yakin dan percaya timbalannya itu dapat memimpin parti dengan baik.

Perdana Menteri juga menyifatkan keputusan itu sebagai penghargaannya kepada Najib yang akan diberi mandat menggantikan beliau bagi memimpin parti dan kerajaan pada pertengahan 2010.

"Saya hargai kesediaan Najib kerana terima cadangan ini dan saya percaya Najib akan menjadi pengganti yang baik.


"Saya hargai persahabatan baik dengan Najib dan persefahaman baik pada peringkat cukup tinggi mengenai isu yang sama-sama kami hadapi dalam parti dan kerajaan serta kerja yang dilaksanakan bersama," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di sini.

Mengenai penerimaan ahli Umno, Abdullah berkata, anggota MT dan ketua bahagian diharap dapat memberi penjelasan kepada ahli akar umbi mengenai peralihan kuasa itu.

Wan Azizah dapat 'Datuk Seri'



GEORGETOWN: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail akan dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri sempena hari ulang tahun Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas ke-70, Sabtu ini.

Wan Azizah adalah penerima tunggal dari kalangan ahli politik Pakatan Rakyat yang masih aktif, sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri.

Ia berikutan keputusan kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang tidak memberikan sebarang darjah kebesaran dan pingat kepada ahli politik yang masih aktif, kecuali Wan Azizah.


Mengumumkan sembilan penerima utama darjah kebesaran dan pingat bagi tahun ini, Ketua Menteri, Lim Guan Eng, berkata Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, mendahului senarai penerima.

Abdul Hamid, yang berasal dari negeri ini akan dianugerahkan darjah tertinggi negeri, Darjah Utama Pangkuan Negeri (DUPN) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Katanya, Abdul Hamid mengharumkan nama negeri kelahirannya dengan prestasi dan pencapaian cemerlang dalam bidang kehakiman dan perundangan.

"Apa yang lebih penting adalah kesedaran beliau dalam mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan menjalankan pembaharuan yang diperlukan untuk memenuhi prinsip keadilan yang sama rata dan menegakkan kedaulatan undang-undang," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.

Majlis pengurniaan darjah kebesaran, bintang dan pingat akan diadakan di Dewan Sri Pinang di sini, esok.

Tujuh orang akan dianugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri, termasuk Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Seri Panglima Ahmad Said Hamdan.

Turut menerima DGPN ialah Pengerusi Ewein Berhad, Datuk Ewe Tiong Hor; Pengarah Urusan Perbadanan Pembangunan Industri Halal, Datuk Jamil Bidin; Pengarah Urusan Pakatan International, Md Isahak & Rakan-Rakan Sdn Bhd, Datuk Md Isahak Md Yusuf.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohamed Ismail Merican; Pengarah Eksekutif Ivory Properties Group, Datuk Nazir Ariff Mushir Ariff dan Pengarah Eskekutif Pensonic Holdings Berhad, Datuk Tan King Tai @ Tan Khoon Hai.

Senarai lengkap penerima lain akan dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan, hari ini.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, bilangan penerima pingat yang membawa gelaran Datuk tahun ini berkurangan kira-kira 50 peratus berbanding 82 orang pada tahun lalu.

"Ahli politik daripada DAP, PKR dan Pas yang masih aktif serta kaunselor tidak diberikan pingat. Ini adalah satu perubahan daripada apa yang dilakukan kerajaan terdahulu," katanya.

Ditanya kenapa Wan Azizah diberi darjah kebesaran, Guan Eng berkata, ia adalah satu kes istimewa dan beliau yang mewakili kerajaan negeri yang mencadangkannya.

"Ini sesuai dengan pengorbanan serta kesetiaan yang tidak berbelah bahagi beliau kepada suami, rakyat dan negara," katanya.

Proses peralihan sebenarnya bermula hari ini: Abdullah



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan akan menyerahkan jawatan Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) kepada Datuk Seri Najib Razak pada pertengahan 2010.

Katanya proses peralihan kuasa itu bermula hari ini dan dengan keputusan itu beliau tidak akan memimpin BN pada pilihan raya umum akan datang yang dijangka pada 2012 atau 2013.

"Saya ambil kesempatan memaklumkan kepada anggota Majlis Tertinggi pada mesyuarat tadi bahawa saya telah mencapai kesepakatan dengan Datuk Seri Najib bahawa saya tidak akan mempimpin parti BN dan Umno pada pilihan raya yang akan datang yang ke-13.


"Dan juga ini bermakna satu peralihan kuasa perlu diwujudkan. Saya maklumkan kepada MT ia bermula dengan apa yang saya umumkan hari ini.

"Iaitu saya bercadang untuk menyerahkan jawatan kepada Datuk Seri Mohd Najib untuk ambil alih jawatan presiden parti dalam pertengahan Jun atau pertengahan tahun 2010," kata pada sidang akhbar selepas Majlis Taklimat Khas Tertutup dengan pemimpin Umno bahagian dan pemimpin ketiga-tiga sayap parti iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

'Saya terpaksa terima'

SELEPAS pelbagai spekulasi dibuat mengenai krisis rumah tangga Nora Danish, akhirnya kes permohonan cerai pelakon dan model itu dengan suaminya, Rizal Ashram Ramli, 32, didengar di Mahkamah Syariah, semalam.

Hakim Syarie Ahmad Irwan Ismail, menetapkan 12 Ogos ini bagi keputusan permohonan lafaz cerai terhadap Nora yang dikemukakan suaminya. Wartawan Berita Harian, Zaidi Mohamed, mendapatkan ulasan ringkas pelakon itu. Apa yang boleh Nora katakan mengenai perceraian ini.

Memang sudah tiada jodoh antara kami, sebagai manusia kita hanya mampu merancang dan Tuhan saja menentukan segala-galanya. Saya sudah cuba yang terbaik mempertahankan ikatan perkahwinan kami yang tidak sampai dua tahun pun, tapi ini kesudahan yang saya terpaksa terima.


Perceraian memang berat untuk saya hadapi terutama dalam keadaan mengandung.

Bagaimana hubungan dengan keluarga mentua.

Hubungan kami masih elok. Saya kena pertahankan hubungan antara keluarga mentua dan suami kerana anak yang saya kandung ini.

Saya juga bersyukur kerana keluarga saya dan keluarga suami masih banyak memberi sokongan untuk saya melalui semua ini. Walau apa terjadi, saya kena kuatkan semangat demi menjaga kandungan saya. Adakah Nora tertekan dengan spekulasi pergolakan rumah tangga selama ini.

Pada mulanya memang terasa, tetapi kini saya sudah tidak lagi tertekan sebaliknya berasa bosan dengan gosip sebegini.

Di kesempatan ini juga saya ingin memohon maaf di atas kehilangan daripada pelbagai aktiviti seni atau sebarang publisiti.

Saya sebenarnya tidak ke mana-mana, cuma berada di rumah saja. Saya perlu mengambil masa menenangkan jiwa dan pada masa yang sama menghadapi komplikasi mengandung.

Pengukuhan ringgit bantu tangani inflasi



INSTITUT Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) mencadangkan kerajaan mengurangkan kawalan ke atas ringgit, terutama urus niaga luar pesisir kerana ia akan memperkukuhkan mata wang itu dan mengurangkan tekanan inflasi.

Pengarah Eksekutifnya Profesor Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff Abdul Kareem, berkata pengukuhan nilai ringgit juga baik kerana merangsang pasaran saham tempatan.

Beliau berkata, Malaysia mempunyai pilihan dasar yang sangat terhad kerana telah mengamalkan defisit bajet sejak 10 tahun lalu.


“Bagi kadar faedah, kita tidak dapat menaikkannya terlalu tinggi kerana ia akan menjejaskan ekonomi. Saya rasa pilihan yang ada pada bank negara ialah kadar tukaran mata wang.

“Justeru, kawalan yang lebih longgar akan membantu. Ringgit wajar dibenarkan meningkat dengan sendiri. Kita tidak mahu ia meningkat secara tidak semula jadi kerana ia akan mendatangkan masalah,” katanya.

“Kita wajar memberikan ruang kepada pasaran, biar ringgit naik sendiri.

Saya rasa ia masih di bawah nilai,” kata Mohamed Ariff.

Kadar faedah rendah jika bayar ikut jadual


Oleh Kamarulzaidi Kamis

BERMULA bulan ini, pemegang kad kredit yang mempunyai rekod pembayaran balik bulanan mengikut jadual akan menikmati kadar faedah lebih rendah, iaitu 15 peratus setahun berbanding had maksimum yang ditetapkan sebanyak 18 peratus.

Ini susulan pelaksanaan sistem penentuan kadar faedah tiga peringkat berkuat kuasa 1 Julai lalu, seperti yang diumumkan Bank Negara Malaysia pada 1 Julai tahun lalu.

Mengikut sistem itu, pemegang kad kredit yang membayar sekurang-kurangnya bayaran minimum lima peratus daripada akaun tertunggak mereka mengikut jadual setiap bulan bagi tempoh 12 bulan berturut-turut hanya dikenakan kadar faedah 15 peratus.


Pemegang kad yang mempunyai rekod bayaran lewat dua kali sepanjang tempoh 12 bulan pula akan dikenakan kadar faedah 17 peratus setahun, manakala yang memiliki rekod bayaran lewat lebih daripada dua kali dikenakan kadar faedah maksimum 18 peratus setahun.

Bank Negara telah mengarahkan bank membuat pemantauan akaun pelanggan kad kredit mereka bagi tujuan penentuan kadar faedah berperingkat itu sejak 1 Julai tahun lalu.

Pengarah Jabatan Dasar Sistem Pembayaran Bank Negara, Cheah Kim Ling pada taklimat media mengenai sistem itu, berkata selain mempromosikan kad kredit sebagai instrumen pembayaran, sistem itu juga bagi menggalakkan pengurusan kewangan berhemah pengguna kad kredit.



di negara ini.

Beliau berkata, ketika ini kira-kira sepertiga daripada 2.7 juta pemegang kad kredit di negara ini menggunakannya sebagai instrumen pembayaran dan menjelaskan sepenuhnya perbelanjaan menjelang akhir bulan, sementara lebih separuh membuat pembayaran sekurang-kurangnya jumlah minimum lima peratus yang ditetapkan mengikut jadual setiap bulan.

“Berdasarkan itu, hanya segelintir saja pemegang kad kredit yang dikenakan kadar faedah maksimum 18 peratus itu,” katanya.

Pada taklimat itu, Cheah turut menjelaskan bahawa berkuat kuasa 1 Julai lalu juga, pemegang kad kredit hanya akan menikmati kemudahan tempoh 20 hari tanpa caj faedah jika mereka melangsaikan sepenuhnya perbelanjaan yang dibuat.

Katanya, semua pemegang kad kredit sudah diberitahu bank masing-masing mengenainya.

Petronas syarikat ke-8 paling untung di dunia


Oleh Suffian A Bakar

PETRONAS berada di kedudukan kelapan senarai syarikat paling untung di dunia dan yang pertama di Asia tahun lalu dalam senarai Fortune Global 500 majalah perniagaan Fortune.

Syarikat petroleum kebangsaan berkenaan yang dalam nilai dolar Amerika Syarikat (AS) meraih keuntungan AS$18.118 bilion tahun lalu, mengatasi syarikat terkemuka dunia lain seperti Microsoft, Toyota, Bank of America, Total dan JP Morgan.

Senarai syarikat paling untung di dunia itu didahului oleh Exxon Mobile diikuti Royal Dutch Shell, General Electric, BP, Gazprom, HSBC Holdings dan Chevron.


Syarikat minyak Itali, Total dan bank pelaburan antarabangsa JP Morgan pula berada di tempat kesembilan dan ke-10.

Petronas juga berada di kedudukan ke-95 dalam senarai keseluruhan Fortune Global 500 berdasarkan pendapatan syarikat.

Di kalangan syarikat Asia, Petronas yang meraih pendapatan dalam nilai dolar AS AS$66.22 bilion tahun lalu berada di kedudukan ke-16.

Senarai 10 syarikat paling besar dunia tahun lalu didahului oleh Wal-mart Stores yang meraih pendapatan AS$378.799 bilion, diikuti oleh Exxon Mobile, Royal Dutch Shell, BP, Toyota Motor, Chevron, Ing Group, Total, General Motors dan Conoco Philips.

Senarai 10 syarikat paling besar di Asia pula dikuasai firma dari Jepun, China dan Korea didahului Toyota Motor (Jepun); Sinopec, State Grid dan China National Petroleum (China); Samsung Electronics (Korea Selatan); Honda Motor, Hitachi, Nissan Motor, Nippon Telegraph (Jepun) dan LG (Korea Selatan).

Sementara itu, syarikat automotif terbesar AS, General Motors, mendahului senarai mencatat kerugian paling besar, iaitu AS$$38.732 bilion.